Home Pertahanan dan Keselamatan Helikopter AW139 HOM TLDM akan dilengkapkan kepada 8 buah – Menteri Pertahanan

Helikopter AW139 HOM TLDM akan dilengkapkan kepada 8 buah – Menteri Pertahanan

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 11 JUL – Perolehan Helikopter Operasi Maritim (HOM) AW139 untuk lengkap kepada 8 buah sedang diusahakan pada ketika ini.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam satu penyataan jawapan lisan di Parlimen.

“Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) turut mengusahakan perolehan pesawat Helikopter Operasi Maritim (HOM) AW139 bagi melengkapkan Skuadron 503 tersebut dengan 8 buah helikopter,

“Perancangan penggantian helikopter TLDM adalah selaras dengan komitmen Kerajaan untuk memelihara kedaulatan dan keselamatan perairan Malaysia di kedua-dua Wilayah,” kat Menteri Pertahanan yang menjawab persoalan dibangkitkan oleh wakil Lumut, Komander Nordin Ahmad Ismail TLDM (Bersara).

Terdahulu, Nordin mengemukakan persoalan kepada Menteri Pertahanan berhubung impak nahas helikopter di Lumut pada lewat April lalu terhadap kesiagaan Cawangan Udara TLDM.

“TLDM akan menangani perkara ini sebaik mungkin berdasarkan sumber sedia ada,

“Dari segi ketersediaan anggota dalam melaksanakan tugas, pihak TLDM akan meneruskan pembangunan modal insan yang kompeten bagi memenuhi keperluan operasi untuk masa kini serta masa hadapan,” kata Menteri Pertahanan dalam penyataan bertarikh 10 Julai 2024.

Sebelum ini, isu helikopter Cawangan Udara TLDM telah dibangkitkan oleh wakil Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman yang meminta pelan tindakan penggantian aset udara TLDM.

“Kementerian Pertahanan melalui TLDM sedang merancang perolehan beberapa buah HOM AW 139 secara berperingkat di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) bagi melengkapkan bilangan helikopter ini kepada 8 buah kesemuanya,”

“Pada masa ini, pihak TLDM sedang meneliti dan mempertimbangkan tawaran perolehan pesawat jenis AW 139 melalui kajian terperinci oleh satu Pasukan Kerja Teknikal,” jelas Khaled dalam jawapan bertarikh 24 Jun 2024.

Sebelum ini, Air Times melaporkan kenyataan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman yang menjelaskan insiden 23 April itu memberikan kesan kepada Cawangan Udara TLDM.

Insiden itu turut menyebabkan kedua-dua helikopter yang terlibat dalam tragedi itu tidak boleh dibaiki berikutan tahap kerosakan yang teruk.

“Sudah tentu ia akan menjejaskan pengoperasian dan keperluan TLDM,

“Kita sedang berusaha untuk meningkatkan kesiagaan pesawat-pesawat yang sedia ada,

“Pada waktu yang sama, kita cuba dapatkan perolehan helikopter-helikopter baharu – sama ada secara terus atau sewaan,” jelasnya semasa sidang media di KD SRI GOMBAK pada akhir Mei lalu.

AW139 merupakan aset terkini TLDM yang diperolehi pada tahun 2022. Kontrak perolehan yang dimeterai pada 11 September 2020 dengan Galaxy Aerospace Malaysia (GAM) Sdn Bhd merupakan pembelian 3 buah helikopter AW139.

Helikopter Operasi Maritim yang dioperasikan oleh Skuadron 503 ini memainkan peranan yang tersendiri dalam memperkukuhkan kehadiran pasukan keselamatan di kawasan terhadapan perbatasan tanah air di Sabah. – airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #Pertahanan #AW139

Related Articles

Leave a Reply