Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Operasi SAR Prebet Muhammad Syafiq masih giat dijalankan

Operasi SAR Prebet Muhammad Syafiq masih giat dijalankan

by Nurulhuda

LIMBANG, 5 Jul – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) anggota tentera Muhammad Syafiq Hilmi Abd Halim yang hilang ketika bertugas semasa Op Ukur di Limbang 18 Jun lalu, masih giat dijalankan.

Sel Perhubungan Raya Markas Tentera Darat Malaysia (TDM) memaklumkan, operasi SAR anggota tentera Batalion ketujuh Rejimen Sempadan (7 RS) yang berpangkalan di Kem Kidurong, Bintulu itu turut disertai oleh Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).

“Operasi SAR yang memasuki hari ke-16 diteruskan dengan penglibatan langsung daripada Panglima Medan Timur Tentera Darat (PMT TD), Leftenan Jeneral Datuk Mohd Sofi Md Lepi yang turun padang pada 3 Julai lepas,” kata TDM dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut kenyataan itu, Mohd Sofi turut serta dalam operasi pencarian di Ulu Mendalam menggunakan Helikopter EC 725 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Beliau turut disertai oleh Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Fauzi Kamis dan Panglima 31 Briged, Brigedier Jeneral Kamarulzaman Mohd Yunos.

PMT TD turut melakukan tinjauan udara di kawasan pencarian untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas tentang situasi di lapangan.

“Atur gerak pasukan SAR dibahagikan kepada beberapa kumpulan, menumpukan pencarian di kawasan tertentu yang dikenal pasti bagi memastikan pencarian dilakukan dengan sangat terperinci dan menyeluruh,

“Ia meliputi pencarian di udara dan air melibatkan kolaborasi strategik pelbagai agensi termasuk TUDM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan unit Anjing Pengesan K9 serta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM),

“Dengan persediaan rapi dan penggunaan peralatan khusus, operasi SAR di Limbang diharapkan dapat menemui anggota yang hilang dengan segera dan selamat,” jelas kenyataan itu lagi.

Mengulas lanjut, TDM menjelaskan, pihaknya akan terus berusaha tanpa henti sehingga objektif operasi ini tercapai. Masyarakat diminta turut sama mendoakan agar Syafiq segera ditemukan.-airtimes.my

#TDM #hilang #operasi #ABDB #TDM #Sarawak #airtimes

Related Articles

Leave a Reply