Home Pertahanan dan Keselamatan Perang Israel-Palestin: Tiada keperluan bawa pulang pasukan MALBATT 850-11 di Lubnan

Perang Israel-Palestin: Tiada keperluan bawa pulang pasukan MALBATT 850-11 di Lubnan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 4 Jul – Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) menjelaskan, tiada keperluan membawa pulang pasukan Batalion Malaysia 850-11 (MALBATT 850-11) di Lubnan bagi misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) buat masa ini biarpun konflik Palestin-Israel semakin meruncing.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ketika ini, keadaan di negara itu masih terkawal namun, konflik itu sentiasa dipantau rapat oleh Malaysia.

“Ini (perkembangan terkini di Lubnan) juga merisaukan kita. Bagaimanapun, kita telah membuat beberapa rancangan jika berlaku ini termasuk langkah evakuasi,

“Ketika ini, tahap keselamatan anggota tentera kita selaku anggota pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan masih lagi dalam keadaan baik,

“Kita sentiasa berkomunikasi setiap hari dan belum ada lagi keperluan membawa balik anggota tentera pengaman PBB Malaysia dari Lubnan,” katanya seperti dilapor Bernama.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Inisiatif Kemanusiaan untuk Palestin, pada rabu.

Jelasnya, sebarang pengunduran membabitkan pasukan pengaman Malaysia itu akan dilakukan dan diselaraskan oleh PBB.

Mengulas lanjut, Mohamad menegaskan, jumlah rakyat Malaysia yang berada di negara itu tidak begitu ramai dan kebanyakannya bertugas sebagai anggota pengaman.

“Tak ramai rakyat Malaysia yang bermastautin di Lubnan, yang ramai (adalah) anggota tentera yang bertugas sebagai anggota tentera pengaman UNIFIL atau MALBATT 850-11,” ujarnya lagi.

Pada Selasa lalu, media melaporkan, Wisma Putra menggesa rakyat Malaysia di Timur Tengah segera mendaftarkan diri ke Kedutaan Malaysia berhampiran dalam masa terdekat.

Langkah tersebut bagi memudahkan pihak kedutaan untuk memanjangkan bantuan konsular dengan segera sekiranya perlu.

Sementara itu, agensi berita antarabangsa, Anadolu melaporkan beberapa negara menyeru rakyat mereka meninggalkan Lubnan di tengah-tengah kebimbangan yang semakin meningkat mengenai perang antara Israel dan kumpulan Hizbullah.

Antara negara mengambil langkah itu, Arab Saudi, Australia, Jerman, Kanada, Amerika Syarikat, Ireland, Jordan dan United Kingdom. – airtimes.my

#airtimes #pertahanan #MALBATT #Lubnan #Malaysia #ATM

Related Articles

Leave a Reply