Home Semasa Pencen pesara diselaraskan selari semakan gaji penjawat awam – Menteri

Pencen pesara diselaraskan selari semakan gaji penjawat awam – Menteri

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 4 Jul – Bayaran pencen kepada lebih 931,000 pesara akan diselaraskan, selari dengan semakan gaji pegawai awam dalam Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Zaliha Mustafa berkata, secara dasarnya pencen akan diselaraskan mengikut peruntukan Seksyen 3 Akta Penyelarasan Pencen 1980 (Akta 238).

“Seksyen ini memperuntukkan bahawa pencen atau elaun persaraan seseorang pegawai hendaklah diselaraskan sekiranya terdapat semakan gaji kepada pegawai awam yang sedang berkhidmat,

“Justeru, bayaran pencen juga akan diselaraskan, selari dengan semakan gaji pegawai awam dalam Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA),” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dikemukakan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang meminta Perdana Menteri menyatakan adakah pencen yang diterima pesara kerajaan bakal diselaraskan ekoran pengumuman semakan gaji penjawat awam baru-baru ini.

Sebelum itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penjawat awam akan menikmati kenaikan gaji lebih 13 peratus mulai Disember depan, antara peningkatan tertinggi dalam sejarah negara, membabitkan peruntukan lebih RM10 bilion.

Dalam masa yang sama, Poay Tiong turut mendakwa ramai pesara kerajaan gusar mengenai kedudukan mereka.

Pada Mac lalu, media melaporkan, kerajaan menanggung pembayaran pencen untuk pesara perkhidmatan awam yang meningkat lebih RM1 bilion setiap tahun.

Dr Zaliha dilaporkan berkata kerajaan membayar RM32.01 bilion kepada 931,707 pesara tahun lalu, meningkat RM1.75 bilion berbanding tahun sebelumnya yang dibayar kepada 902,999 pesara.

Menurutnya, pada 2022 kerajaan telah membayar pencen sebanyak RM30.26 bilion, meningkat RM2.22 bilion berbanding 2021 yang dibayar kepada 878,441 pesara membabitkan bayaran RM28.04 bilion.

Sementara itu, Anwar dilaporkan berkata, perincian berhubung kenaikan gaji penjawat awam akan diumumkan sebelum pembentangan Belanjawan 2025 pada Oktober ini.-airtimes.my

#semasa #Malaysia #DSAI #SSPA #pencen #gaji #penjawatawam

Related Articles

Leave a Reply