Home Pertahanan dan Keselamatan Laporan Ketua Audit Negara: TLDM hanya terima 4 kapal berbanding 18 yang dirancang

Laporan Ketua Audit Negara: TLDM hanya terima 4 kapal berbanding 18 yang dirancang

by Zulhaizi Rosdi

KUALA LUMPUR, 4 JUL – Semakan audit mendapati prestasi perolehan dan penerimaan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) dan RMKe-12 adalah rendah berbanding sasaran yang ditetapkan.

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 hari ini menyatakan TLDM menyasarkan perolehan sebanyak 18 kapal namun hanya 4 kapal sahaja diterima iaitu sebanyak 22.2 peratus berbanding sasaran.

“TLDM sepatutnya membuat perolehan 10 kapal misi pesisir (LMS) di bawah RMKe-11 dan RMKe-12, namun hanya empat kapal LMS telah selesai dibuat perolehan dan diterima setakat 31 Disember 2022.

“TLDM juga sepatutnya menerima dua kapal Multi Role Support Ship (MRSS) di bawah RMKe-12, tetapi perolehan hanya akan dilaksanakan di bawah RMKe-13 kerana kekangan peruntukan,” kata laporan itu.

Tambahnya lagi, keadaan ini menyebabkan TLDM masih menggunakan kapal yang melebihi usia guna bagi tujuan operasi.

Selain itu, faktor yang mempengaruhi ketidakcapaian sasaran pegangan kapal ialah kelewatan penyiapan 5 Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang mana kapal tersebut sepatutnya disiapkan dan diterima pada tahun 2019 hingga 2022.

Namun, sehingga bulan Disember 2022, kapal tersebut masih belum diterima.

Justeru itu, berdasarkan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 20 April 2022, Kerajaan telah memutuskan untuk mengurangkan perolehan kapal LCS sebanyak satu unit sahaja.

Menurut LKAN yang dikeluarkan pad ahari ini, 18 buah kapal yang sepatutnya diterima TLDM adalah terdiri daripada 10 buah kapal LMS, 6 kapal LCS dan 2 kapal MRSS. – airtimes.my

#pertahanann #TLDM

Related Articles

Leave a Reply