Home Diskusi Kolumnis: Jika syarikat ST Engineering dari Singapura boleh menjadi gergasi industri pertahanan, mengapa tidak Malaysia?

Kolumnis: Jika syarikat ST Engineering dari Singapura boleh menjadi gergasi industri pertahanan, mengapa tidak Malaysia?

by Zaki Salleh

Sepertimana diketahui, industri pertahanan negara seberang tambak, Singapura sangat cemerlang sehingga kemajuan yang dicapai melangkaui lain-lain negara serantau.

Tanpa perlu membandingkan dengan pencapaian syarikat setara di sini, sebaliknya apa yang perlu dipelajari ialah bagaimana Singapura dapat mencapai kemajuan sedemikian.

Gergasi pertahanan Singapura, ST Engineering sewajarnya dijadikan contoh bagaimana ia membina jenama sehingga diterima pada peringkat global.

Sebelum melangkah jauh, ST Engineering terlebih dahulu diberi kepercayaan kerajaan republik itu untuk membangunkan segala keperluan angkatan tenteranya.

Inilah titik tolak kejayaan ST Engineering yang bermula kecil sama sepertimana industri pertahanan di Malaysia, Indonesia, Thailand dan Filipina.

ST Engineering yang ditubuhkan pada Disember 1997 kini menggabungkan empat entiti utama iaitu syarikat ST Aerospace, ST Electronics, ST Automative dan ST Marine.

Kini, ia bukan sekadar sebuah syarikat menghasilkan peluru dan bom tetapi melangkau lebih ke hadapan apabila meneroka sistem digital dan bidang siber.

Pesaing ST Engineering dalam industri pertahanan global seperti Hindustan Aeronautics, Wistron, Elbit Systems dan BAE Systems.

Menembusi pasaran Eropah bukan mudah khususnya bagi syarikat Asia selain persaingan yang lebih besar pada pentas antarabangsa.

Tahun lalu nilai eksport keseluruhan ST Engineering sebanyak AS$2.17 bilion dan tersenarai pada kedudukan ke-45 daripada 100 firma pertahanan dunia. Angka ini meliputi semua dan tidak terhad kepada persenjataan.

Pada tahun 2022, Singapura mengeksport AS$26.4 juta dalam bentuk kelengkapan persenjataan.

Pembeli terbesar ialah Filipina sebanyak AS$8.48 juta, Malawi (AS$3.71 juta), Nigeria (AS$3.57 juta), Kanada (AS$2.39 juta) dan Indonesia (AS$2.34 juta).

Terbaru, ST Engineering berjaya memperoleh kontrak tempahan peluru dari Eropah berjumlah lebih S$100 juta atau kira-kira RM348 juta.

Nilai kontrak tersebut adalah sepanjang tiga bulan iaitu antara April dan awal Jun.

Sebahagian besar pesanan kontrak ini adalah untuk peluru artileri kaliber 155 milimeter (mm) dan peluru 40mm.

Bahan letupan yang dibekalkan mengikut standard Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) iaitu satu bentuk piawaian teknikal yang digunakan oleh majoriti angkatan tentera negara Eropah.

Walaupun tidak dinyatakan secara jelas, namun boleh difahami bahawa import peluru meriam oleh negara Eropah ini dibuat berikutan konflik di Ukraine.

Impak konflik yang berpanjangan menyaksikan negara-negara Eropah giat melakukan pembelian termasuk meningkatkan jumlah bahan letupan seperti peluru dan bom.

Pada masa sama, negara-negara NATO  juga dikatakan bersedia untuk mengambil alih penyelarasan penghantaran bantuan ketenteraan ke Ukraine.

Sebelum ini ia dilakukan oleh proksi rapat Ukraine iaitu Amerika Syarikat.

Perang memberi limpahan keuntungan kepada negara pengeksport senjata, dalam hal ini ST Engineering mendapat laba. – airtimes.my

#AirTimes #Pertahanan #Diskusi #Industri

Related Articles

Leave a Reply