Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Kalau tak layak dan tak berkualiti, mereka tak akan lulus komando – Jurulatih

Kalau tak layak dan tak berkualiti, mereka tak akan lulus komando – Jurulatih

by Nurulhuda

Ketahanan mental dan fizikal yang tinggi selama 3 bulan dengan menempuh pelbagai halangan serta ujian membuktikan hanya yang mampu serta layak sahaja berjaya disarungkan dengan beret hijau kebanggaan Gerup Gerak Khas (GGK).

Jurulatih Pusat Latihan Latihan Peperangan Khusus (PULPAK), Kapten Arif Aiman berkata, kesemua yang lulus dan dianugerahkan dengan beret hijau itu adalah mereka yang layak serta memenuhi kriteria yang ditetapkan untuk menjadi warga Gerak Khas.

“Untuk anggaran lulus setiap tahun itu, kita boleh tengok ramai yang lulus ini disebabkan mereka ini layak bukan kerana GGK mementingkan kuantiti tetapi lebih kepada kualiti yang mereka ada sendiri,

“Kalau mereka tiada kualiti itu, mereka tidak mampu mengikuti latihan yang berat yang mana semua latihan dalam Kursus Asas Komando ini semuanya berat. Dalam kursus ini, ada latihan yang melibatkan tenaga, fizikal dan mental iaitu berjalan sejauh 160 kilometer (km) dalam 3 hari 2 malam,

“Di situ kita dapat tengok mana yang tak mampu, yang melibatkan tekanan mental dan fizikal mereka akan berhenti, tidak akan teruskan perjalanan. Ramai yang akan jatuh, dehidrasi dan tak mampu meneruskan perjalanan sehingga tamat 160 km itu,” katanya kepada Air Times.

Hanya penuntut yang layak dan memenuhi kriteria seorang perajurit komando berjaya menamatkan kursus serta disarungkan dengan beret hijau GGK – Jurulatih PULPAK. Foto: AirTimes/Ashraf

Penyertaan anggota komando lebih ramai dari perkhidmatan lain

Mengulas lanjut, beliau berkata, jumlah penuntut kursus yang ramai adalah berikutan penyertaan anggota dari keseluruhan kor dalam Tentera Darat.

“Secara asasnya organisasi Tentera Darat ini besar berbanding Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), jadi di situ kita boleh lihat mengapa pengambilan bagi pasukan khusus ini ramai,

“Kursus Asas Komando ini terbuka kepada seluruh kor yang terdapat dalam Tentera Darat yang mana TD terdapat 14 kor kesemuanya,

“Pengambilan ini terbuka, jadi ramai yang ingin menyertai. Cuma penyertaan pada awal kursus hanya terbuka kepada 250 penuntut sahaja,” ujarnya lagi.

Saringan awal penentu kelayakan sertai Kursus Asasa Komando

Kursus asas yang dijalankan selama 3 bulan ini terdiri daripada 5 peringkat iaitu peringkat kem selama 5 minggu, peringkat hutan 2 minggu, peringkat paya seminggu, peringkat laut dan penamat iaitu masing-masing 2 minggu.

Sebelum menghadiri Kursus Asas Komando ini, Arif Aiman menjelaskan, calon kursus terlebih dahulu melalui ujian saringan awal kelayakan sebelum meneruskan latihan yang ditetapkan.

“Kita akan buat saringan awal, dimana akan ada ujian kelayakkan dengan standard tertentu yang perlu dicapai oleh anggota dan pegawai seperti ujian larian serta berenang. Sekiranya gagal, mereka tidak akan mengikuti kursus asas tersebut,

“Bagi mereka yang lulus pula, mereka akan meneruskan kursus ini. Penuntut yang layak dan memenuhi kriteria seorang perajurit komando hanyalah mereka yang berjaya menamatkan kursus dari awal sehingga akhir,

“Jadi mereka yang berjaya lulus dan melepasi segala ujian ini layak disarungkan dengan beret hijau, maksudnya kriteria itu ada pada mereka untuk disarungkan dengan beret hijau,” jelasnya.

Tambahnya, bagi penuntut yang gagal pula, mereka ini akan diberi peluang untuk mengikuti Kursus Asas Komando yang akan datang tetapi dengan syarat-syarat tertentu.

“Mereka yang gagal masih boleh memohon untuk mengikuti kursus ini semula, ia masih terbuka tetapi kelayakan umur terhad kepada 28 tahun sahaja,” ujarnya lagi.

Kursus Asas Komando bertujuan melatih penuntutnya agar mempunyai daya ketahanan dan fizikal yang tinggi sejajar dengan kepakaran GGK sebagai pasukan khusus TDM. Foto: AirTimes/N.Huda

Kursus Asas Komando merupakan satu-satunya kursus yang perlu dilalui oleh seorang anggota TDM sebelum layak disarungkan dengan ‘beret hijau’ komando.

Latihan lasak yang luar biasa perlu dilalui oleh setiap pelatih selama 3 bulan yang mencabar ketahanan mental dan fizikal merangkumi beberapa peringkat seperti kem, hutan, paya serta laut.

Lazimnya, pada setiap kali pengambilan anggota komando tidak semua yang berjaya, malah lebih separuh daripada mereka gagal untuk menamatkan latihan dan kembali menjadi anggota tentera biasa.

Mereka diuji dengan pelbagai bentuk latihan seperti jalan lasak sejauh 160 km, mendayung bot tempur secara taktikal sejauh 120km, ikhtiar hidup di paya serta latihan perairan. -airtimes.my

#GGK #gerakkhas #komando #Airtimes #TDM #airtimes

Related Articles

Leave a Reply