Home Semasa Hampir 1 juta kanak-kanak Malaysia dikesan hadapi masalah kesihatan mental

Hampir 1 juta kanak-kanak Malaysia dikesan hadapi masalah kesihatan mental

by Aqilah Azman

KUALA LUMPUR, 4 JUL- Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad mendedahkan hampir 1 juta kes masalah kesihatan mental dikesan di kalangan kanak-kanak dan remaja di Malaysia.

Dalam penyataan jawapan lisan di Parlimen, beliau menyatakan seramai 922,318 golongan tersebut alami masalah kesihatan mental pada tahun 2023.

“Ini adalah peningkatan sebanyak 2 kali ganda berbanding tahun 2019,” jelas Dr Dzulkefly.

Jelasnya, seramai 424,000 kanak-kanak dan remaja dikesan menghadapi masalah tersebut pada tahun 2019. Kesemua angka tersebut adalah berdasarkan data yang dikesan menerusi tinjauan Kesihatan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Angka tersebut melibatkan kanak-kanak dan remaja di antara usia 5 hingga 15 tahun.

Beliau menambah, KKM telah mengambil beberapa inisiatif dan pendekatan bagi menangani isu yang amat membimbangkan ini.

Antaranya Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH), perkhidmatan Talian HEAL 15555, penyediaan perkhidmatan kesihatan mental, penempatan Pegawai Psikologi  serta kerjasama dengan pelbagai pihak.

“KKM sedang membangunkan Pelan Tindakan Kesihatan Mental Kanak-kanak dan Remaja (CAMH),

“Program Minda Sihat Sekolah yang merupakan kerjasama antara KKM dan Kementerian Pendidikan Malaysia turut dilaksanakan di 2.456 sekolah menengah dan 7,776 sekolah rendah,

“KKM juga berusaha meningkatkan bilangan Pakar Psikiatri Kanak-kanak dan Remaja kepada 30 orang menjelang tahun 2027,” kata Dr Dzulkefly yang menjawab soalan Ahli Parlimen Tanjong Karang, Kapten Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi (Bersara).

Pada masa yang sama, Menteri Kesihatan turut menyatakan tanggungjawab menangani permasalahan mental di kalangan kanak-kanak dan remaja perlu dipikul secara bersama oleh semua pihak.

“KKM akan terus komited untuk menangani isu kesihatan ini melalui kerjasama merentas agensi dan usaha bersepadu,

“Ini bagi memastikan kesihatan mental yang dalam kalangan kanak-kanak,” ujar beliau. – airtimes.my

#AirTimes #Semasa #Kesihatan

Related Articles

Leave a Reply