Home Pertahanan dan Keselamatan MINDEF sasar pembinaan 12,000 rumah keluarga menjelang 2030 – Adly Zahari

MINDEF sasar pembinaan 12,000 rumah keluarga menjelang 2030 – Adly Zahari

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 3 JUL – Kementerian Pertahanan (MINDEF) menyasarkan untuk menyediakan 12,000 lagi Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) menjelang tahun 2030.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, pembangunan projek itu bakal menampung hingga 60 peratus daripada keseluruhan anggota pertahanan pada masa kini.

“Keseluruhan daripada RKAT adalah sekitar 59 ribu rumah, dan kalau kita tengok dalam Blueprint Perumahan ATM, kita (MINDEF) harus menyiapkan sekitar 12 ribu lagi perumahan bagi anggota pertahanan kita,

“Sebab itu kalau kita melihat secara keseluruhannya kita hanya menyediakan sekitar 60 peratus daripada keseluruhan keperluan anggota pertahanan kerana kita tahu sebahagian daripada anggota pertahanan itu membeli aset-aset di luar dan mereka duduk di kawasan perumahan masing-masing,

“Keperluan kita buat masa ini adalah sekitar 12 ribu RKAT dan ini sasaran kita menjelang tahun 2030,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun yang ingin mengetahui apakah perancang MINDEF untuk menempatkan lebihan anggota yang masih tidak dapat menduduki RKAT yang disediakan oleh kerajaan.

Dalam masa yang sama, Adly turut menjelaskan, bagi tahun 2024, MINDEF telah diperuntukkan sebanyak RM400 juta bagi kerja-kerja penyelenggaraan rumah keluarga.

“Peruntukan tersebut telah diagihkan kepada 4 markas utama iaitu Markas Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM),

“Pada masa kini, sebanyak 694 projek sedang dalam proses perolehan, 386 dalam pelaksanaan, manakala 16 projek telah siap dilaksanakan oleh keempat-empat agensi pelaksana,” ujarnya lagi.

Tegasnya, kerajaan sentiasa berusaha untuk memastikan kebajikan anggota tentera terutamanya yang terkait dengan perumahan anggota dan keluarga bagi memastikan mereka dapat terus menyumbang khidmat bakti kepada negara. -airtimes.my

#MINDEF #ATM #perumahan #anggota #airtimes

Related Articles

Leave a Reply