Home Semasa Malaysia, Indonesia senada muktamadkan isu sempadan Sabah-Kalimantan Utara

Malaysia, Indonesia senada muktamadkan isu sempadan Sabah-Kalimantan Utara

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 3 JUL – Malaysia bersama Indonesia senada mempergiatkan usaha dan perbincangan bagi mencapai kesepakatan khususnya membabitkan sempadan Sabah-Kalimantan Utara yang sedang dimuktamadkan.

Perkara itu dizahirkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri Luar Negeri Indonesia, Retno Marsudi di Perdana Putra, hari ini.

Menurutnya, dalam pertemuan lebih 30 minit itu, beliau Retno sempat berbincang pelbagai perkara penting terkait kepentingan kedua-dua negara serta usaha memperkukuh hubungan kedua-dua negara sahabat.

“Menyentuh isu sempadan Malaysia-Indonesia, kami senada mempergiat usaha dan perbincangan bagi mencapai kesepakatan dan penyelesaian menang-menang, khususnya membabitkan sempadan Sabah-Kalimantan Utara yang sedang dimuktamadkan,

“Terkait soal tangkapan bot nelayan membabitkan warga Malaysia dan Indonesia, kedua-dua negara akan menghormati proses perundangan yang berjalan,

“Sebarang perbincangan atau permohonan adalah tertakluk pada ketetapan dalam memorandum persefahaman (MoU) Common Guidelines,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasminya, pada Rabu.

Anwar turut memberi jaminan bahawa Malaysia kekal komited untuk meningkatkan perlindungan hak asasi dan kebajikan lebih 500,000 pekerja Indonesia di Malaysia.

Mengulas lanjut, Anwar menjelaskan, perbincangan turut menyentuh isu Palestin, di mana kedua-dua negara sepakat memberikan sokongan teguh pada perjuangan menuntut keadilan buat rakyat Gaza, serta penerimaan Palestin sebagai anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Beliau turut menjelaskan, Malaysia sedia bekerjasama dengan Indonesia dan Laos bagi memastikan kesinambungan dalam usaha menyelesaikan krisis serta meneroka penyelesaian damai di Myanmar.

“Saya juga hargai perkongsian Retno mengenai pengalaman Indonesia mempengerusikan ASEAN. Ia tentunya menjadi panduan berguna tatkala Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN tahun depan,” ujarnya lagi. -airtimes.my

#airtimes #Malaysia #Indonesia

Related Articles

Leave a Reply