Home Semasa Sindiket Penipuan Pekerjaan: 659 warganegara berjaya diselamatkan, 187 masih dijejaki

Sindiket Penipuan Pekerjaan: 659 warganegara berjaya diselamatkan, 187 masih dijejaki

by Zulhaizi Rosdi

KUALA LUMPUR, 2  JUL – Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin memaklumkan, seramai 659 orang warganegara Malaysia yang terlibat dengan sindiket penipuan tawaran pekerjaan berjaya diselamatkan dan telah dihantar pulang ke negara.

Manakala, seramai 187 orang lagi yang menjadi mangsa sindiket penipuan itu masih dijejaki sehingga kini.

“Ini menjadikan jumlah warganegara yang terlibat adalah seramai 846 orang berdasarkan laporan yang diterima daripada waris, ahli keluarga, rakan, polis dan individu itu sendiri.

“Dalam hal ini, statistik yang dilaporkan dalam berita atau akhbar yang menyatakan terdapat 2000 orang masih terperangkap di luar negara adalah tidak padan dengan jumlah laporan yang kami terima dan tidak boleh disahkan,” katanya ketika sesi Kamar Khas Parlimen pada Isnin.

Jelasnya lagi, ada juga situasi di mana terdapat warganegara Malaysia yang bekerja dengan rela hati dan memegang jawatan tinggi dalam sindiket.

“Dalam situasi ini, kebiasaannya tiada laporan akan dibuat sehingga mereka menghadapi masalah seperti didera, berhutang dengan majikan atau dihalang untuk pulang ke Malaysia.

“Berdasarkan pemerhatian, bilangan laporan yang diterima juga menunjukkan penurunan dalam trend semasa,” katanya.

Beliau menamnbah, pihak Kementerian Luar Negeri sedar bahawa terdapat lagi warganegara yang masih bekerja dengan sindiket, sama ada secara sukarela atau diperdaya.

“Pihak Kementerian akan meneruskan usaha bagi mengesan mangsa dan menghulurkan bantuan konsular dengan sewajarnya,” ujar beliau. – airtimes.my

 

#AirTimes #Malaysia

 

 

Related Articles

Leave a Reply