Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat KPA rangka penstrukturan semula, martabat ATM sebagai Angkatan Masa Hadapan

KPA rangka penstrukturan semula, martabat ATM sebagai Angkatan Masa Hadapan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 2 JUL – Kor Perkhidmatan Am (KPA) merangka penstrukturan semula organisasi dan pelan strategik bagi memartabatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai Angkatan Masa Hadapan (AMH) yang berkeupayaan.

Pengerusi Kor Perkhidmatan Am (KPA), Brigedier Jeneral Zamzuri Harun berkata, penstrukturan semula ini adalah selaras dengan aspirasi yang terkandung dalam Kertas Putih Pertahanan (KPP).

Menurutnya, antara inisiatif utama yang diperkenalkan adalah migrasi sistem UGATNET kepada sistem gaji ATM berkonsepkan teknologi digital bagi meningkatkan kecekapan dan ketepatan pengurusan gaji anggota ATM.

“Dalam usaha memperkukuh pengurusan dan penyimpanan rekod, Jabatan Arah Rekod dan Pencen (JRP) telah merangka hala tuju yang komprehensif serta inovatif termasuk pemerkasaan sistem pengurusan maklumat melalui pendigitalan untuk memastikan pengurusan maklumat anggota lebih efisien,

“Anggota bahagian kerani juga akan diperlengkapi dengan latihan-latihan seperti pengurusan pejabat, teknologi maklumat, penggunaan perisian pejabat, pengurusan dokumen digital, keselamatan siber, dan perlindungan data,” katanya ketika menyampaikan Perutusan Sempena Perbarisan Hari Ulang Tahun KPA ke-66 di Padang Kawad Maktab Tentera Diraja (MTD) pada Isnin.

Tambahnya, Jabatan Arah Pendidikan kini pula dalam usaha menstruktur semula organisasi melibatkan perpindahan beberapa elemen ke bahagian Training and Doctrine (TRADOC) ATM di Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS).

Ujarnya, penstrukturan semula ini adalah untuk memperkukuhkan peranan TRADOC ATM dalam membangun sumber manusia profesional melalui integrasi latihan berpaksi doktrin, pendidikan profesional dan pengalaman berkonsepkan Professional Military Education (PME).

“Dalam mendukung aspirasi Angkatan 30, Jabatan Arah Pendidikan telah merangka Educational Grand Strategy untuk melaksanakan inisiatif pendidikan berimpak tinggi seperti Program Recognition of Prior Experiential Learning (RPEL) yang membuka peluang kepada anggota untuk memperoleh Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) melalui pengiktirafan pengalaman,

“Di samping itu, Jabatan Arah Pendidikan sedang giat membangunkan silibus khusus untuk memperkasakan program pembelajaran dan latihan dalam ATM dengan kompetensi tingkah laku (behavioural competency) serta akan terus melaksanakan inisiatif membangun Subject Matter Expert (SME),

“Bagi Teras 3 PSM pula, Jabatan Arah Pendidikan komited menghantar anggota mengikuti pengajian tinggi dalam bidang-bidang sasaran, peningkatan infrastruktur sekolah dalam kem, penyediaan taska dalam kem dan perkhidmatan sistem W-Ilmu perpustakaan dan koleksi Digital ATM,” ujarnya lagi.

Zamzuri turut berkata, komponen Perhubungan Raya (PR) kini sedang mengimplementasikan strategi komunikasi yang lebih bersepadu dan proaktif untuk memastikan maklumat tepat dan konsisten menerusi platform komunikasi pelbagai media.

Tegasnya, latihan media dan komunikasi dipertingkat bagi memastikan anggota PR mempunyai kemahiran dalam penulisan, penyuntingan, penyampaian mesej dan pengurusan krisis anggota Perhubungan Awam.

“Selain itu, komponen telah PR diiktiraf sebagai rakan strategik oleh Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) dalam kursus peningkatan kemahiran PR selain berjaya dalam penerbitan filem ‘MALBATT: Misi Bakara’ dan dokumentari Netflix ‘The World’s Toughest Forces’ yang meningkatkan imej positif ATM di mata dunia,

“Kejayaan yang dilakar ini perlu dijadikan dorongan agar kita mampu mencipta lebih banyak kejayaan pada masa-masa mendatang,” jelasnya lagi.

Dalam masa yang sama, Pengerusi KPA turut menyeru kepada setiap lapisan warga KPA memperbaharui tekad untuk terus berkhidmat dengan tulus dan ikhlas memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada pucuk pimpinan agar kor ini sentiasa relevan.

Terdahulu, Pengerusi KPA menerima tabik hormat serta memeriksa perbarisan melibatkan 5 detasmen berkekuatan seramai 18 pegawai dan 216 anggota diketuai oleh Leftenan Kolonel Zulkarnain Amir dari Komponen Gaji dengan diiringi Pancaragam Pusat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Perbarisan berkonsepkan Berjalan Lalu ini kemudian diteruskan dengan acara pemakaian pangkat melibatkan seramai 8 anggota. -airtimes.my

#TDM #KPA66 #pertahanan #airtimes #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply