Home Pertahanan dan Keselamatan Pasukan khas ESSCOM berlatih hadapi ancaman, beri amaran kepada bakal penceroboh

Pasukan khas ESSCOM berlatih hadapi ancaman, beri amaran kepada bakal penceroboh

by Zaki Salleh

LAHAD DATU, 1 JUL – Mengandaikan ancaman itu sentiasa ada meletakkan pasukan keselamatan dalam keadaan siap siaga selain memberi amaran kepada bakal penceroboh.

Ini bukan bermakna wilayah negara tidak selamat, sebaliknya menunjukkan kita benar-benar menjaga perimeter terutamanya di batas sempadan.

Justeru, memastikan tahap keselamatan di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) penting sekali gus mewujudkan rasa selamat kepada rakyat.

Imbas kembali ESSCOM ditubuhkan pada 1 April 2013 selepas insiden pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu.

Wilayah ESSCOM menjadi perbatasan penting kerana berjiran dengan Filipina dan Indonesia yang hanya dipisahkan dengan perairan.

Kepentingan ini diterjemahkan melalui Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) Pasukan Khas ESSCOM Bersama-sama Pasukan Elit dan Khusus Agensi Keselamatan di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone).

ESSZone merangkumi 10 daerah meliputi keluasan 1,733.7 kilometer dari Kudat ke Tawau.

Antara daerah di dalamnya ialah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

Latihan ini buat pertama kalinya melibatkan gabungan pasukan khas dan pasukan khusus dari ATM, PDRM serta Maritim Malaysia.

Buat julung-julung kalinya, latihan ini mengkoordinasi operasi khas.

Ia menggabungkan kepakaran, kesefahaman serta sinergi pasukan khusus Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Sinergi ini bergabung bagi menghadapi sebarang bentuk ancaman di ESS Zone.

Antara entiti terlibat ialah Paskal, 69 Komando, Unit Tindakhas, Tiger Platoon Pasukan Gerakan Am, Unit Gempur Marin (UNGERIN) Pasukan Polis Marin Wilayah 4 dan STAR APMM.

Turut terlibat ialah anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu.

Kemuncak LDP yang bermula pada 23 Jun hingga 1 Julai ini ialah latih amal akhir berkonsepkan operasi khas dalam keadaan sebenar di kawasan koloni setinggan sekitar Lahad Datu.

Ini termasuk pemeriksaan di kawasan penempatan tersebut secara taktikal oleh pasukan terlibat.

Latihan sebegini mempunyai pelbagai tujuan dan peranan. Disamping melatih anggota untuk hadapi situasi sebenar, ianya turut memberikan mesej tersendiri kepada pihak luar.

Terdahulu, Komander ESSCOM, Datuk Victor B Sanjos menyempurnakan amali akhir LDP pasukan khas ESSCOM ini di Markas Operasi Pasukan Polis Marin, Lahad Datu.

Hadir sama Timbalan Komander ESSCOM, Brigadier Jeneral Mohamad Ismail Kamarudin dan Ketua Staf Pasukan Khas, SAC Mohd Nasaruddin M. Nasir.

Dalam kenyataan beliau, Victor menzahirkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada pasukan khas, perisikan dan keselamatan ESSCOM atas kejayaan mengkoordinasi latihan tersebut.

Beliau juga berhasrat untuk memperluas penyertaan LDP ini kepada jabatan dan agensi keselamatan serta penguat kuasa yang lain. – airtimes.my

#AirTimes #Keselamatan #ESSCOM #Sabah

Related Articles

Leave a Reply