Home SemasaGlobal Korea Utara lancar 2 misil balistik

Korea Utara lancar 2 misil balistik

by Zulhaizi Rosdi

SEOUL, 1 JUL – Korea Utara pada Isnin melancarkan dua lagi misil balistik jarak dekat sehari selepas Korea Selatan melakukan latihan ketenteraan bersama Amerika Syarikat (AS) dan Jepun.

Ketua Turus Bersama Tentera Korea Selatan berkata, satu peluru berpandu balistik jarak dekat telah dilepaskan dari kawasan Jangyong sekitar jam 5 pagi manakala satu lagi berpandu balistik yang tidak diketahui jenisnya dilancarkan 10 minit kemudian.

“Tentera kami telah memperkukuh pemantauan dan bersiap-siaga terhadap pelancaran tambahan peluru berpandu yang dilancarkan Korea Utara serta ia turut dikongsi dengan pihak berkuasa Amerika Syarikat dan Jepun berhubung data peluru berpandu berkenaan,” katanya.

Sebelum ini, Pyongyang pada Rabu turut melancarkan beberapa peluru berpandu dengan kepala peledak dan mendakwa ujiannya terhadap pelancaran itu berjaya.

Bagaimanapun, dakwaan itu ditepis oleh Korea Selatan yang mengatakan bahawa ujian yang dilaksanakan itu gagal.

Korea Utara baru-baru ini telah meningkatkan provokasinya dengan melancarkan peluru berpandu dan menghantar belon buangan merentasi sempadan ke Korea Selatan.

Pyongyang berkata ianya sebagai tindak balas terhadap Korea Selatan yang mengedar risalah anti-Korea Utara ke wilayahnya oleh aktivis di Korea Selatan.

Semalam, Pyongyang mengutuk latihan ketenteraan bersama oleh Korea Selatan, Jepun dan AS, dengan menuduh mereka cuba mewujudkan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) versi Asia.

Latihan ‘Freedom Edge’ yang diperkatakan itu diadakan selama tiga hari termasuk persediaan peluru berpandu balistik dan pertahanan udara, peperangan anti-kapal selam serta latihan pertahanan siber. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply