Home Diskusi Kolumnis: Bagaimana Filipina buat keputusan beli 48 buah helikopter Black Hawk dengan cepat

Kolumnis: Bagaimana Filipina buat keputusan beli 48 buah helikopter Black Hawk dengan cepat

by Zaki Salleh

Negara jiran dekat Laut China Selatan, Filipina bulan lalu telah menerima penghantaran 5 buah helikopter baharu S-70i Black Hawk bagi menggandakan fleet operasi udara negara itu.

Ini merupakan penghantaran kumpulan pertama
S-70i Black Hawk daripada 32 buah kesemuanya yang dibeli negara kepulauan itu.

Penghantaran seterusnya ialah 10 buah lagi pesawat S-70i Black Hawk tahun ini, 10 buah pada 2025 dan baki 7 menjelang 2026.

Manila telah meterai perjanjian bernilai AS$624 juta dengan Poland bagi perolehan 32 buah helikopter S-70i Black Hawk dua tahun lalu.

Kontrak tersebut termasuklah latihan untuk juruterbang, kru penyelenggaraan dan sokongan logistik.

Tentera Filipina sebelum ini telah menerima 16 buah helikopter sama dari Poland secara berperingkat-peringkat pada November 2021.

Perolehan secara berperingkat akan menjadikan Filipina sebagai negara pengguna S-70i Black Hawk terbesar di dunia.

Pembelian bernilai AS$241 juta dibuat pada 2019 juga merupakan kontrak terbesar yang diterima PZL Mielec.

Bagaimana pun, sebuah daripadanya terbabit dalam nahas udara semasa latihan.

Dengan penerimaan kesemua helikopter Black Hawk nanti, Filipina akan menjadi pengguna terbesar varian S-70i di dunia.

Kita perhatikan bagaimana dalam tempoh lima tahun kerajaan Filipina telah membuat keputusan yang luar biasa memutuskan untuk berbelanja besar demi kepentingan menggantikan helikopter-helikopter lama yang semakin usang.

Perolehan pertama dibuat pada 2019 diikuti dengan perolehan kedua pada 2022 iaitu cuma berselang tiga tahun sahaja tanpa mengambil masa lama untuk membuat keputusan.

Walaupun sudah pasti dalam tempoh tersebut ada pelbagai perbincangan dan kata putus oleh para jeneral dan pemimpin negara, namun pada akhirnya satu keputusan yang dilihat sangat tepat telah dibuat.

Kerajaan Filipina tidak menanti lama untuk memutuskan dibuat pembelian kedua, malah jumlah helikopter yang dipesan pula dua kali ganda.

Dengan memilih firma pengeluar yang sama maka proses perbincangan tentang ciri-ciri pada helikopter tidak berlarutan lama kerana mengikut spesifikasi sama.

Justeru, membandingkan proses Filipina membuat keputusan untuk membeli helikopter baharu dengan apa yang berlaku di Malaysia memperlihatkan banyak perbezaan.

Memang betul setiap negara mempunyai keperluan serta pendekatan berbeza dalam soal perolehanan aset, cuma situasi Filipina tidak jauh beza dengan Malaysia.

Penggunaan helikopter merupakan antara tunjang logistik yang penting di mana-mana kawasan di Asia Tenggara.

Sepertimana kita, Filipina turut berdepan dengan isu aset-aset helikopter yang semakin usang dan perlu diganti.

Dalam hal ini, iltizam kepimpinan negara sedikit sebanyak menyumbang kepada keputusan untuk melengkapkan tentera negara itu dengan kelengkapan yang lebih baik.

Sekiranya Kementerian Pertahanan (Mindef) dan kerajaan menoktahkan penggantian segera helikopter Nuri lima tahun lalu, sudah pasti ketika ini Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mempunyai pengganti.

Imbas kembali, pada Januari 2020, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) memutuskan agar khidmat kesemua 12 buah helikopter Nuri dihentikan daripada menyertai pelbagai bentuk misi yang disifatkan sebagai terlalu uzur untuk digunakan.

Tindakan sama dilakukan Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) yang mengoperasikan helikopter Nuri bekas kepunyaan TUDM tetapi telah dinaik taraf.

Nuri yang berusia lebih 50 tahun diakui antara helikopter paling efektif, tahan lasak dan ampuh termasuk menyokong operasi tempur semasa era Insurgensi.

Cuma, nostalgia kita terhadap kebolehan Nuri pada era lalu seolah-olah memerangkap keputusan untuk menggantikan pesawat itu.

Sikit-sikit lama-lama jadi bukit, itu yang boleh dirumuskan terhadap perolehan berperingkat S-70i oleh FIlipina.

Berbeza juga dengan Filipina, kerajaan sebaliknya memutuskan menyewa 4 helikopter AW139 untuk TUDM sebagai langkah jangka pendek sementara melaksanakan perolehan 24 buah helikopter baru untuk menggantikan Nuri.

Bayangkan, jika perolehan pengganti Nuri dibuat secara berperingkat-peringkat pada tahun 2018 atau 2019, mungkin dalam masa 2 tahun beberapa helikopter baharu telah diterima.

Keadaan serupa juga berlaku pada PUTD apabila terpaksa reda dengan ketiadaan helikopter utiliti sejak tahun 2020 sehingga keputusan untuk menyewa helikopter Black Hawk dibuat tahun lalu.

Sehingga kini helikopter Black Hawk terpakai secara sewaan masih belum diterima.

Related Articles

Leave a Reply