Home Pertahanan dan Keselamatan Keanggotaan ATM mencukupi, jumlah sebenar adalah rahsia – Menteri Pertahanan

Keanggotaan ATM mencukupi, jumlah sebenar adalah rahsia – Menteri Pertahanan

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 28 JUN – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan jumlah keanggotaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) adalah mencukupi dan berada dalam tahap kesiagaan tinggi pada ketika ini.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Menteri Pertahanan dalam satu penyataan jawapan lisan di Parlimen bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai.

“Bilangan keanggotaan ATM yang terdiri daripada pegawai dan anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) yang berkhidmat di dalam Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), merupakan satu bentuk maklumat kerahsiaan di dalam strategik pertahanan negara,

“Walau bagaimanapun, suka dijelaskan, pada masa kini jumlah keanggotaan ATM adalah mencukupi dan berada di tahap kesiapsiagaan yang tinggi,” katanya.

Terdahulu, Tan mengajukan soalan berhubung jumlah anggota ATM mengikut pecahan kaum terkini dan sama ada ianya mencukupi garis panduan Kertas Putih Pertahanan (KPP).

Menyentuh perkara tersebut, Menteri Pertahanan menyatakan kekuatan ATM pada masa kini mematuhi dasar sedia ada dalam KPP.

“Sehingga Mei 2024, keanggotaan ATM mengikut pecahan kaum utama adalah sebanyak 85.81% merupakan kaum Melayu,

“Penyertaan kaum Bumiputera Sarawak dan Sabah masing-masing adalah sebanyak 8.0% dan 6.9%. Penyertaan dari kaum India sebanyak 1.5%, kaum Cina sebanyak 0.5%, Orang Asal sebanyak 0.8% dan kaum-kaum lain sebanyak 0.6%,” katanya.

Beliau menambah, KPP menekankan pengambilan calon yang berkelayakan dan kompeten terutamanya dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan, pengurusan dan kemahiran-kemahiran lain yang berkaitan bagi memastikan ATM dapat berfungsi secara mampan dalam melaksanakan objektif pertahanan negara yang digariskan. – airtimes.my

#AirTimes #Pertahanan #ATM

Related Articles

Leave a Reply