Home Pertahanan dan Keselamatan Helikopter mendarat cemas, 3 anggota tentera dikejarkan ke hospital

Helikopter mendarat cemas, 3 anggota tentera dikejarkan ke hospital

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 28 JUN –  Seramai 3 anggota Tentera Darat Malaysia telah dikejarkan ke hospital berikutan insiden pendaratan cemas helikopter Agusta 109 Light Observation Helicopter (A109 LOH), di Kluang, hari ini.

Insiden nahas itu telah disahkan oleh pihak Tentera Darat dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini.

Menurutnya, kejadian berlaku semasa Latihan Penerbangan Malam, Kursus Army Aviation Basic Officer Course di Landasan Terbang Kluang, Rejimen 881 Pasukan Udara Tentera Darat (Rej 881 PUTD), Kem Mahkota Kluang, Johor pada jam 1.35 pagi.

Menurutnya, insiden ini melibatkan 3 anak kapal yang terdiri daripada seorang jurulatih helikopter, seorang penuntut kursus dan seorang krew kuatermaster.

“Kesemua krew yang terlibat dalam keadaan sedar dan hasil awal pemeriksaan perubatan telah mengenal pasti beberapa kecederaan yang dialami oleh pegawai dan anggota seperti patah tulang belakang dan luka-luka di beberapa bahagian anggota badan serta lain-lain kecederaan yang masih belum dikenal pasti,

“Kesemua anak kapal dalam keadaan stabil dan telah dibawa ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom, Kluang, Johor bagi menerima rawatan lanjut,” kata kenyataan itu.

Tentera Darat Malaysia turut menyatakan tindakan Henti Terbang Sementara (temporary grounded) untuk helikopter berkenaan.

“Retifikasi dan one-time inspection akan dilakukan untuk mengembalikan status terbang pesawat dengan segera,

“Dalam masa yang sama, satu Lembaga Siasatan akan disidangkan bagi mengenal pasti punca kejadian,” katanya.

A109 LOH merupakan helikopter yang dioperasikan oleh Rejimen 881 PUTD sekitar tahun 2005-2006. – airtimes.my

#AirTimes #Pertahanan #TenteraDarat #PUTD

Related Articles

Leave a Reply