Home Pertahanan dan Keselamatan KDN bangunkan Pelan Induk Kawalan Keselamatan Sempadan

KDN bangunkan Pelan Induk Kawalan Keselamatan Sempadan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 27 Jun – Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang membangunkan Pelan Induk KDN Berhubung Kawalan Keselamatan Sempadan Negara sebagai usaha ke arah pemantapan kawalan keselamatan di sempadan Malaysia.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan, cadangan rangka pelan induk komprehensif itu adalah melalui pembangunan strategi dan pelan tindakan bersepadu melibatkan kementerian dan agensi kerajaan lain yang terlibat dalam kawalan sempadan negara.

“Pelan induk yang dirangka ini akan dilaksanakan berdasarkan kepada 2 fokus strategi iaitu memperkukuh operasi kawalan keselamatan sempadan negara dan memperkasa kapasiti kawalan sempadan negara,

“Fokus strategi yang dirangka untuk memperkukuhkan kawalan keselamatan sempadan negara akan dilaksanakan secara pemusatan kepada 5 sempadan hadapan negara iaitu Utara (Kedah, Perlis dan Perak); Timur (Kelantan, Terengganu dan Pahang); Selatan (Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor); Sabah dan Sarawak,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Mordi Bimol (Mas Gading ) mengenai apakah langkah-langkah untuk memastikan bidang kuasa dan kerjasama di antara pihak penguatkuasa demi untuk membanteras aktiviti penyeludupan barangan kawalan dan barangan larangan yang semakin berleluasa di persempadanan di Indonesia – Sarawak.

Selain itu, Saifuddin menjelaskan, pihaknya juga dalam menagdakan tindakan pelaksanaan Kajian Kebolehlaksanaan Pembangunan Sistem Kawalan Sempadan Negara (NBCS) sebagai usaha memperkasakan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam kawalan keselamatan sempadan.

“Pembangunan sistem NBCS yang dicadangkan ini akan dilengkapi dengan sistem pengawasan terkini dan teknologi AI bagi membolehkan operasi tanpa pengawasan, proses kawalan pintar, penyebaran maklumat secara pantas dengan masa sebenar dan pengawasan sepanjang masa secara berterusan dalam melindungi sempadan darat dan maritim Malaysia demi keamanan, kestabilan dan kedaulatan negara,

“Penggunaan teknologi AI ini akan membolehkan pengesahan objek dilaksanakan secara efektif di samping dapat mengelakkan penggera palsu serta dapat membantu pasukan keselamatan dalam membuat keputusan untuk meningkatkan kecekapan keseluruhan kawalan keselamatan di sempadan,” menurutnya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pelaksanaan Kajian Kebolehlaksanaan NBCS di bawah peruntukan Rolling Plan Ketiga, Rancangan Malaysia ke-12.

“Ia dilaksanakan Institut Keselamatan Awam Malaysia (IPSOM) melalui pelantikan pasukan penyelidik dan pakar universiti awam bermula 7 Sept tahun lepas dengan tempoh kajian selama 14 bulan yang dijangka tamat pada November ini,” ujarnya lagi. -airtimes.my

#keselamatan #airtimes #KDN #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply