KUALA LUMPUR, 27 Jun – Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman menegaskan, penjualan saham Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP) adalah satu perkara yang melanggari konsistensi semua pihak dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin.
Menuurtnya, isu tersebut telah bertentangan dengan pendirian tegas dan polisi semua pihak untuk tidak mengadakan sebarang hubungan dagang bersama Israel.
“Ucapan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam persidangan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 24 Januari lalu dilihat tegas dan konsisten untuk terus mengatakan kezaliman zionis Israel itu perlu diberhentikan dan pelanggaran hak asasi manusia tidak boleh lagi dikompromi,
“Namun demikian itu di luar pentas dunia, tetapi kita di Malaysia ada kejanggalan, kepelikan, langkah tersembunyi dan langkah rahsia khususnya dalam tindakan ekonomi domestik kita iaitu penjualan saham dan aset strategik yang nampaknya sekarang ini menjadi perkara besar dalam negara kita,
“Saya yakin, ini sudah bertentangan dengan pendirian tegas dengan polisi negara kita untuk tidak ada langsung dengan Israel,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Sehubungan itu, Ahmad Tarmizi mempersoalkan adakah pihak MAHB dan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) merujuk kepada Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) ketika mana langkah mereka menjual saham kepada GIP, BlackRock Inc.
“Kalau ada rujukan itu minta diberi perincian, termasuk bagaimana Wisma Putra menangani persepsi buruk di peringkat antarabangsa oleh kerana kita telah pun melanggari konsistensi dalam memperjuangkan isu Palestin ini,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin berkata, majlis PBB merupakan satu platform penting yang berperanan supaya penindasan dan pencabulan hak asasi manusia terhadap Palestin itu diberhentikan.
“Apabila pesuruhjaya tinggi PBB mengadakan lawatan ke Kuala Lumpur, dan mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri serta Menteri Luar Negeri. Kita telah menyampaikan pendirian dan pandangan bahawa platform itu harus digunakan sebaik-baiknya,
“Hal ini bagi memastikan resolusi yang telah diluluskan oleh Majlis Hak Asasi Manusia dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya iaitu memastikan penindasan pencabulan hak dan genjatan senjata dihentikan serta-merta,” ujarnya lagi.-airtimes.my
#Malaysia #airtimes #semasa #Parlimen #Palestin