Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Anggota tentera hilang: Usaha diteruskan guna helikopter, anjing pengesan

Anggota tentera hilang: Usaha diteruskan guna helikopter, anjing pengesan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 27 Jun – Usaha pencarian anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) dari Batalion Ke-7 Rejimen Sempadan (RS), Prebet Muhammad Syafiq Hilmi Abd Halim masih giat dijalankan.

Sel Perhubungan Raya TDM memaklumkan, Operasi Mencari dan Menyelamat (Search and Rescue, SAR) yang memasuki hari ke-10 diteruskan dengan menggunakan kaedah Air Search dan Ground Search di sekitar kawasan Ulu Mendalam di Limbang, Sarawak.

Menurut TDM, antara aset yang diaturgerakkan adalah helikopter EC 725 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), helikopter LOH (AW 109) Agusta milik TDM dan dipergiatkan lagi dengan bantuan unit Anjing Pengesan K9 dari Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Pencarian turut dibantu oleh anggota dari Combat Air Rescue TUDM, Pasukan Gerakan Am (PGA) PDRM dan anggota JUPEM yang sedang melaksanakan Operasi (Op) UKUR,

“Manakala di sektor Brunei Darussalam, pihak Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) turut melaksanakan pencarian di sekitar kawasan radius pencarian,” jelas TDM dalam kenyataan pada Khamis.

Pada Jumaat lalu, TDM mengesahkan seorang anggotanya dilaporkan hilang ketika menjalankan Op Ukur di kawasan sempadan Malaysia-Brunei bersama Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM) Sarawak.

Pihak TDM memaklumkan, anggota 7 RS itu didapati hilang pada 18 Jun 2024 lebih kurang jam 12 tengah hari, ketika Ketua Kumpulan mendapati anggota tiada diposisi belakang kumpulan.

“Usaha pencarian terus dialksanakan oleh TDM sejak Selasa lalu di kawasan tersebut dengan melibatkan kerjasama TUDM serta agensi awam lain yang dikoordinasikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) iaitu PDRM dan BOMBA,” jelas TDM.

Mengulas lanjut, TMD menjelaskan pihaknya kekal komited dan konsisten dalam operasi ini dan berharap agar orang ramai dapat bersama-sama mendoakan agar anggota berkenaan dapat ditemui segera dalam keadaan selamat.

“Kerjasama masyarakat juga diharapkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menggangu misi pencarian,” jelas kenyataan itu lagi. -airtimes.my

#TDM #hilang #operasi #Sarawak #airtimes

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!