Home Semasa Amerika Syarikat serah 3 pesawat CN235 dinaiktaraf kepada TUDM

Amerika Syarikat serah 3 pesawat CN235 dinaiktaraf kepada TUDM

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 27 JUN – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini menerima 3 buah pesawat CN235 yang dinaiktaraf daripada kerajaan Amerika Syarikat.

Penyerahan tersebut dinyatakan oleh Duta Amerika Syarikat ke Malaysia, Edgard D Kagan di akaun media sosial rasmi beliau.

“Hari ini, saya telah menyertai penyerahan simbolik 3 buah CN235 yang dinaiktaraf kepada pesawat Maritime Surveillance Aircraft (MSA) dari Amerika Syarikat kepada TUDM,” katanya.

Menurut beliau, programnaik taraf bernilai US$60 juta ini dilaksanakan di bawah Maritime Security Initiative (MSI).

“MSI adalah bertujuan untuk memastikan Malaysia dilengkapi dengan kelengkapan yang lebih baik bagi mengawasi persekitaran maritimnya,” ujar beliau.

Penyerahan pesawat diterima oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM.

Menurut pihak Duta Amerika Syarikat ke Malaysia dalam satu kenyataan, program MSI tersebut bermula pada tahun 2018 dan merupakan geran keselamatan utama yang pertama AS kepada negara ini.

Jelasnya, sepanjang tempoh 2019 hingga 2013, Amerika Syarikat telah menyalurkan lebih US$240 juta bantuan keselamatan kepada Malaysia.

“Dengan penyerahan ketiga-tiga pesawat yang dinaiktaraf dan dioperasikan oleh Malaysia, kita sudah pasti mengetahui bahawa Malaysia lebih berupaya dalam melaksanakan pengawasan di kawasan Zon Ekonomi Eksklusifnya,” kata Kagan.

Kerjasama keselamatan Amerika Syarikat dan Malaysia merangkumi 11 latihan ketenteraan bilateral dan 5 latihan multilateral. Kerjasama ini merupakan yang terbanyak dan terbesar untuk Malaysia berbanding negara-negara lain.

“Kerjasama ini akan meningkatkan kesiagaan pertahanan Malaysia, memperkukuhkan hubungan antarabangsa serta  mencerminkan komitmen Amerika Syarikat dalam mendukung rantau Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka,” kata kenyataan itu.

Tambahnya, kesemua CN235 tersebut telah dipertingkatkan dengan radar pemantauan maritim, runut infra merah elektro optikal, sistem komunikasi dan stesen operator.

Kesemua pesawat ini telah dinaiktaraf secara berperingkat di PT Dirgantara, Indonesia. CN235 yang dinaiktaraf dioperasikan oleh No.1 Skuadron TUDM. – airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #Pertahanan

Related Articles

Leave a Reply