Home Semasa UiTM kekal untuk pelajar Bumiputera – Zambry

UiTM kekal untuk pelajar Bumiputera – Zambry

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 26 Jun – Kerajaan akan terus mengekalkan dasar Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk pelajar dari kaum Melayu, Orang Asli dan anak negeri Sabah serta Sarawak.

Menteri Pengajian Tinggi Zambry Abd Kadir berkata, dasar itu perlu ditekankan dalam usaha merealisasikan hasrat kerajaan untuk merapatkan jurang antara kaum terutamanya melibatkan aspek sosio ekonomi.

“Laporan daripada Kongres Ekonomi Bumiputera pada tahun 2024 oleh Kementerian Ekonomi menunjukkan masih terdapat jurang ekonomi melibatkan bumiputera dari segi purata pendapatan bulanan, pegangan ekuiti korporat, kadar kemiskinan, pengeluaran tenaga kerja mahir serta kelayakan profesional,

“Malah kadar miskin mutlak dalam kalangan bumiputera masih memerlukan usaha secara berterusan untuk diperbaiki,

“Oleh yang demikian, pengekalan dasar UiTM untuk kaum Melayu, orang asli dan anak negeri Sabah dan Sarawak ini masih diperlukan dalam usaha untuk merealisasikan hasrat kerajaan merapatkan jurang antara kaum terutamanya apabila melibatkan aspek sosio ekonomi,” kata Zambry di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) yang menyatakan sama ada kerajaan bercadang untuk membenarkan bukan Bumiputera menuntut di UiTM dengan meminda Akta UiTM 1976 dan sekiranya tidak, nyatakan alsanya.

Sementara itu, mengenai isu kekurangan pakar kardiotorasik sehingga mencetuskan kontroversi membabitkan UiTM, Zambry berkata, berlaku sedikit kekeliruan intepretasi oleh Majlis Perubatan Malaysia (MMC).

“Kita sudah berusaha mencari pendekatan terbaik bagi menyelesaikan masalah khusus kepada 4 tenaga pakar bedah ekoran Fellowship of Royal College of Surgeons of Edinburgh (FRCS Ed),

“Satu perbincangan sudah diadakan dengan pihak Universiti Malaya (UM) untuk memperkenalkan kursus itu. Oktober nanti ia akan diselesaikan, yang mana ada laluan lain selain UiTM,” katanya bagi menjawab soalan tambahan dari Ramkarpal Singh.

#semasa #Malaysia #bumiputera #UiTM #airtimes

Related Articles

Leave a Reply