Home Pertahanan dan Keselamatan PLV: Lebih 20,000 warga asing tanpa dokumen dihantar pulang – Saifuddin

PLV: Lebih 20,000 warga asing tanpa dokumen dihantar pulang – Saifuddin

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 26 Jun – Kerajaan memberi jaminan bahawa pelaksanaan Pelan Liberalisasi Visa (PLV) tidak akan menggugat keselamatan negara.

Sebaliknya, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kementeriannya melalui Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menjalankan 7,975 operasi dan menghantar 20,207 warga asing tanpa dokumen.

“Kita mempunyai jadual serbuan berkala terhadap hotspot yang ramai diduduki oleh warga asing. Bila serbuan dibuat kita akan periksa dokumen atau tidak dan tengok kalau ada dokumen tetapi tinggal melebihi masa terlebih atau tidak, kalau ada pas pekerja salah guna atau tidak. Kita akan semak sebab berkaitan Akta Imigresen,

“Kita bukan sahaja menahan pekerja tetapi juga majikan kerana mereka tidak akan masuk jika tiada majikan yang menggajikan mereka,

“Kalau mereka membawa masuk pekerja asing mengikut undang-undang tidak ada masalah tetapi jika majikan membawa warga asing secara curi-curi (tidak ikut undang-undang) kita akan tahan,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) berhubung peningkatan pekerja asing tanpa dokumen di negara ini.

Menurutnya, operasi membabitkan 76,477 warga asing itu dilakukan ke atas 224 kawasan ‘hot spot’ yang diduduki warga asing di seluruh negara.

“Kita periksa 76,477 warga asing dan daripada jumlah itu, yang tiada dokumen langsung 20,207, yang ini kita bawa ke depot Imigresen dan kita hubungi kedutaan dan hantar balik (negara asal),

“Kita juga tahan majikan mereka. Mereka tidak akan masuk (Malaysia) kalau majikan tidak gajikan mereka. Seramai 456 majikan juga telah kita tahan,

“Hari ini depot Imigresen ada 19, tetapi kapasiti sekarang sekarang ada 13,000 (warga asing), jadi bermaksud dibawah kapasiti,” tambahnya.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, kerajaan turut melaksanakan program Penghantaran Pulang PATI Secara Sukarela dan seramai 68,900 daripada 79,231 warga asing yang serah diri telah dihantar pulang ke negara asal.

Menurut beliau, warga asing terbabit terlebih dahulu dikehendaki membayar kompaun dikenakan dibawah Akta Imigresen dan 4 negara paling ramai warga negara terbabit serah diri adalah Indonesia, Bangladesh, India serta Pakistan.-airtimes.my

#keselamatan #PATI #KDN #PLV #airtimes #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply