Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut Op PATKOR MALINDO: Kerjasama TLDM-TNI-AL perkukuh keselamatan perairan Selat Melaka

Op PATKOR MALINDO: Kerjasama TLDM-TNI-AL perkukuh keselamatan perairan Selat Melaka

by Nurulhuda

LUMUT, 26 Jun – Kerjasama pertahanan maritim Malaysia – Indonesia terus diperkukuhkan menerusi pelaksanaan Operasi Patroli Terkoordinasi (Op PATKOR MALINDO) siri 164/24 yang berlangsung dari 12 Jun sehingga semalam.

Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada (MPA) Barat memaklumkan, operasi di antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentara Nasional Indonesia-Angkatan Laut (TNI-AL) itu dijalankan bagi memastikan keselamatan perairan Selat Melaka.

Menurut MPA Barat, operasi gabungan kali ini melibatkan Kapal Diraja (KD) HANDALAN dan JERAI mewakili TLDM manakala Kapal Republik Indonesia (KRI) Torani dan Krait mewakili TNI-AL.

“Majlis pembukaan berlangsung di Lantamal I, Belawan, Indonesia pada 12 Jun. Seterusnya, kapal meneruskan fasa rondaan bersama di perairan Selat Melaka bermula 14 hingga 23 Jun yang bertujuan memastikan keselamatan di Selat Melaka,

Kerjasama antara TLDM dan TNI-AL diperkukuhkan menerusi Op Patkor Malindo yang berlangsung sejak 12 Jun sehingga semalam. Foto: TLDM

“Di samping meningkatkan kebolehoperasian kedua angkatan laut, pelbagai aktiviti dilaksanakan bagi mengekang ancaman keselamatan serta jenayah rentas sempadan merangkumi perkongsian maklumat tentang ancaman dan aktiviti maritim serta latihan bersama di laut,

“Latihan yang dijalankan bertujuan mengasah kemahiran warga TLDM dan TNI-AL dalam pengawasan dan rondaan maritim yang efektif, serta meningkatkan keupayaan dalam menghadapi ancaman dan situasi kompleks di perairan Selat Melaka,” jelas MPA Barat dalam kenyataan, pada Selasa.

Tambah MPA Barat, operasi diakhiri dengan majlis penutup di Markas Wilayah Laut 3, Langkawi pada 24 Jun.

“Keutuhan jalinan kerjasama TLDM dan TNI-AL melalui Op Patkor Malindo mampu memastikan perairan Selat Melaka selamat daripada unsur pelanggaran undang-undang maritim,

“Seterusnya mengukuh keyakinan komuniti maritim di perairan itu,” ujar kenyataan itu lagi.

MPA Barat turut menambah, kerjasama erat antara kedua negara akan terus dikekalkan dalam memastikan keselamatan serta keamanan pengguna maritim di sepanjang perairan maritim Malaysia dan Indonesia.-airtimes.my

#pertahanan #TLDM #airtimes #Malaysia #Indonesia

Related Articles

Leave a Reply