Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut MAWILLA 4 di Bintulu dijangka siap tahun 2029 – Khaled Nordin

MAWILLA 4 di Bintulu dijangka siap tahun 2029 – Khaled Nordin

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 26 Jun – Pembangunan Markas Wilayah Laut (MAWILLA) 4 di Bintulu dijangka siap secara keseluruhannya pada tahun 2029, sekiranya proses perolehan tanah dapat diselesaikan pada tahun 2024.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin berkata, pada ketika ini, projek pembinaan MAWILLA 4 masih diperingkat pra pelaksanaan di mana proses pemilikan tanah sedang diuruskan oleh Kerajaan Negeri.

Menurutnya, terdapat isu-isu berbangkit melibatkan pengambilan tanah Title Land dan tanah Native Customary Right (NCR)/Tanah Hak Adat Bumiputera.

“Proses pengambilan tanah ini menyebabkan berlakunya peningkatan kos kepada peruntukan sedia ada yang telah diluluskan,

“Sehubungan itu, kesesuaian tapak cadangan bagi pembangunan MAWILLA 4 di Bintulu akan diteliti dan dikaji semula oleh pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) termasuk mencari lokasi lain yang lebih bersesuaian terutamanya di kawasan yang lebih hampir dengan Pelabuhan Bintulu dan Bandar Bintulu,

“Sekiranya proses perolehan tanah ini dapat diselesaikan pada tahun 2024, pembangunan MAWILLA 4 di Bintulu dijangka siap secara keseluruhannya pada tahun 2029,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan daripada Roy Angau Anak Gingkoi (Lubok Antu) yang menyatakan bilakah MAWILLA 4 di Bintulu akan siap dibangunkan dan apakah usaha Kerajaan dalam memperkasa aset pertahanan laut di Sarawak demi melindungi kedaulatan negara.

Pada tahun lalu, Menteri Pertahanan ketika itu, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, pembinaan Markas MAWILLA 4 tersebut dibuat berasaskan keutamaan dan keperluan semasa demi menjaga keselamatan serta kepentingan aset negara.

Jelasnya, Bintulu merupakan kawasan yang strategik dan berdekatan dengan Beting Patinggi Ali di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Laut China Selatan, serta kawasan Lapangan Gas Kasawari.

Dengan mengambil kira kepentingan Lapangan Gas Kasawari dan Beting Patinggi Ali yang menyumbang kepada hampir 30 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), Mohamad berkata, pembinaan MAWILLA 4 di Bintulu adalah satu keutamaan.

Mohamad berkata, ia sebagai langkah memperkukuhkan lagi kawalan serta pemantauan di kawasan berstrategik dan bernilai tinggi kepada ekonomi serta negara.

Mengulas lanjut, berhubung dengan usaha memperkasakan pertahanan maritim di perairan Sarawak, Khaled berkata, perolehan 3 buah Littoral Mission Ship Batch 2 (LMSB2) telah dipersetujui dan majlis menandatangani Surat Setuju Terima (SST) telah dilaksanakan pada 10 Jun 2024 di Ankara, Turkiye.

Jelasnya, perolehan ini antara usaha kerajaan dalam memperkasa aset pertahanan laut di Sarawak.

“Perolehan ini akan mengambil masa kira-kira 3 tahun setengah untuk disiapkan dan Malaysia bakal menerima keseluruhan tiga kapal berkenaan pada akhir 2027,

“Secara tidak langsung, perolehan aset ini akan dapat meningkatkan keupayaan mengekang pencerobohan anasir luar dengan lebih efisyen dan menyeluruh,” ujarnya lagi. – airtimes.my

#TLDM #MAWILLA4 #pertahanan #bintulu #airtimes

Related Articles

Leave a Reply