Home Semasa JNAS: Malaysia serius tangani jenayah pemerdagangan manusia – Mohamad

JNAS: Malaysia serius tangani jenayah pemerdagangan manusia – Mohamad

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 25 Jun – Malaysia akan terus mengambil tindakan serius dalam menangani jenayah pemerdagangan manusia selain memastikan pelaksanaan penuh Pelan Tindakan Nasional Anti Pemerdagangan Orang (2021-2025) (NAPTIP 3.0).

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pada masa sama, Malaysia turut menyeru rakan-rakan antarabangsa untuk bekerjasama dalam menangani cabaran bersama berhubung isu tersebut.

“Saya mengalu-alukan peningkatan kedudukan Malaysia ke Tier 2 dalam Laporan Pemerdagangan Orang (TIP) Amerika Syarikat 2024,

“Ini adalah pengiktirafan terhadap kemajuan yang telah dicapai Kerajaan Malaysia dalam memerangi jenayah itu termasuklah peningkatan jumlah siasatan, pendakwaan dan sabitan terhadap pemerdagangan orang,

“Ia termasuk peningkatan bilangan pakar pendakwa raya pemerdagangan orang, peruntukan bagi perlindungan mangsa dan penambahbaikan program kesedaran awam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, Malaysia juga menyeru negara-negara asal untuk memikul tanggungjawab yang lebih besar dalam mencegah rakyat mereka daripada menjadi mangsa pemerdagangan.

“Negara-negara asal juga perlu mendakwa dan menghukum penjenayah yang terlibat,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Malaysia telah berjaya dinaik taraf ke Tahap 2 (Tier 2) dalam Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) mengenai Pemerdagangan Orang tahun 2024 yang diumumkan di Washington, pada Isnin.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam kenyataan memaklumkan, peningkatan itu strategik dan signifikan kerana Malaysia sebelum ini dinilai pada Tahap 3 Pemerhatian pada 2023 serta kali terakhir berada di Tahap 2 adalah pada tahun 2017. -airtimes.my

#semasa #airtimes #Malaysia #KDN

Related Articles

Leave a Reply