Home Semasa BlackRock sudah bertapak di Malaysia sejak 20 tahun lalu – Anwar

BlackRock sudah bertapak di Malaysia sejak 20 tahun lalu – Anwar

by Zulhaizi Rosdi

KUALA LUMPUR, 25 JUN – BlackRock telahpun berada di Malaysia sejak tahun 1990-an dan syarikat ini mempunyai pelaburan ekuiti dalam 100 syarikat di negara ini.

Perkara ini didedahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pada Selasa.

Menurutnya, BlackRock sebagai sebuah firma pelaburan global sudah memiliki ekuiti pelaburan merangkumi sektor industri dengan tiga entiti terbesar yang merupakan industri perbankan di negara ini.

“Secara keseluruhan mereka memiliki aset bernilai sekitar RM27.5 bilion di Malaysia iaitu RM20.5 bilion dalam pasaran saham Bursa Malaysia dan RM7 bilion dalam bon kerajaan dan korporat di Malaysia.

“Pada tahun 2021, BlackRock juga telah dipilih oleh Kumpulan Wang Simpanan Nasional (KWSP) sebagai salah satu pengurus dana Akaun Terurus Berasingan (SMA) pelaburan langsung dan pelaburan bersama Ekuiti Persendirian (PE) patuh Syariah yang pertama dan terbesar di dunia dengan peruntukan sebanyak AS$600 juta iaitu bersamaan RM2.5 bilion,” katanya.

Menerusi peruntukan itu, KWSP telah menubuhkan tiga dana SMA bernilai AS$200 juta setiap satu yang dikendalikan oleh tiga Pengurus Dana Ekuiti Persendirian – Blackrock, HarbourVest, Partners LLC dan Partners Group AG.

Tambah Anwar, usaha ini telah bermula sejak tahun 2018 sebelum dilancarkan oleh KWSP pada tahun 2021.

Setakat 31 Mac 2024, BlackRock merupakan pengurus aset terbesar di dunia dengan aset di bawah pengurusan (AUM) mencecah $10.5 trilion iaitu bersamaan dengan RM49.35 trilion.

Ia memegang saham dalam hampir semua syarikat tersenarai awam di seluruh dunia.

Sebahagian besar portfolio BlackRock dikhususkan untuk pelaburan berkaitan indeks yang pasif, ini termasuk gergasi teknologi seperti Apple, Facebook dan Google.

Di pasaran Amerika Syarikat, pegangan BlackRock dalam setiap syarikat terbesar S&P500 (indeks pasaran saham Amerika) secara purata adalah sekitar 7.35 peratus. – airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #Semasa

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply