Home Pertahanan dan Keselamatan ATM pastikan kawalan sempadan berada tahap tertinggi demi kedaulatan negara

ATM pastikan kawalan sempadan berada tahap tertinggi demi kedaulatan negara

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 25 Jun – Kementerian Pertahanan (MINDEF) melalui Angkatan Tentera Malaysia (ATM) konsisten dalam memastikan kawalan keseluruhan sempadan negara berada pada tahap yang tertinggi.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin berkata, tindakan itu dilakukan demi mengekalkan kedaulatan negara dan mengekang sebarang bentuk pencerobohan menerusi pelbagai operasi meliputi kawasan daratan, persisiran pantai, perairan, udara dan tuntutan bertindih termasuk di kawasan perairan Kudat, Sabah.

Menurutnya, pemantauan kawalan keselamatan di perairan Kudat dilaksanakan menerusi Operasi PASIR (Op PASIR) di bawah kawalan Markas Angkatan Bersama (MK AB) yang dilaksanakan sepanjang tahun.

“Pelaksanaan Op PASIR meliputi aturgerak elemen dari Tentera Darat Malaysia (TD) di kawasan persisiran dan perairan Kudat dengan menduduki pulau-pulau strategik,

“Terdapat 7 lokasi penempatan trup di Daerah Kudat iaitu di Pos Karakit, Pos Dogotan, Pos Pulau Balambangan, Pos Pulau Mandi Darah, Pos Mapan-Mapan, Pos Tanjung Batu Laut dan Kem Sri Kudat,

“Aturgerak elemen TD ini meliputi Pasukan Infantri dan Pasukan Tindak Balas Pantas (QRF) yang dilengkapkan dengan aset Bot Tempur (Viper MK II dan Rover),” katanya dalam jawapan bertulis bagi Pertanyaan-Pertanyaan Jawab Lisan yang tidak dijawab di Dewan Rakyat, pada Isnin.

Beliau berkata demikan bagi menjawab pertanyaan daripada Datuk Verdon Bahanda (Kudat) mengenai kekerapan pemantauan kawalan keselamatan di perairan Kudat dan aset pertahanan yang digunakan untuk operasi kawalan keselamatan sempadan.

Mengulas lanjut, Mohamad Khaled menjelaskan, pemantauan perairan Kudat juga menggunakan aset perairan di bawah pemerintahan Markas Pemerintahan Armada (MPA) Timur melalui Op PASIR melibatkan aturgerak sekurang-kurangnya 3 buah kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang dilaksanakan sepanjang masa.

Tambahnya, aset Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) juga sentiasa ditugaskan dalam memantau perairan Kudat menggunakan aset-aset yang berpangkalan di Pangkalan Udara Labuan dan Pangkalan Udara Kuching.

“Kekerapan rondaan oleh TUDM adalah sebanyak 4 kali sebulan dengan menggunakan pesawat pejuang, pengangkut dan helikopter bergantung kepada ketersediaan semasa pesawat.

“Selain itu, ATM juga melaksanakan pengawasan menggunakan Coastral Surveillance Radar iaitu Radar CSS 1206 yang ditempatkan di Pulau Banggi (CSS Dogoton) dan Pulau Jambongan (Daerah Beluran) sebagai amaran awal bagi mengesan sebarang pencerobohan wilayah perairan Kudat,” jelasnya lagi. -airtimes.my

#ATM #khalednordin #sempadan #Malaysia #airtimes

Related Articles

Leave a Reply