Home Semasa Tuntutan waris Sulu: Kerajaan sedang kenal pasti dalang beri maklumat – Azalina

Tuntutan waris Sulu: Kerajaan sedang kenal pasti dalang beri maklumat – Azalina

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 24 Jun – Kerajaan sedang mencari dalang yang membantu kumpulan Sulu melakukan tuntutan terhadap negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan, pihak yang menjadi dalang dan penderhaka itu memainkan peranan sebagai penggerak yang membantu memberikan maklumat kepada tuntutan tersebut.

“Tuntutan dari orang luar itu kita tak tahu selepas ni siapa lagi yang akan buat sebab ramai yang mengaku keluarga dan adik beradik (kepada kumpulan Sulu), tetapi kita akan membela,

“Cuma yang sedang dalam proses yang tak dapat saya beri strategi sebenar adalah kita tahu adanya dalang dan penderhaka dalam kalangan rakyat Malaysia yang menyokong dan membantu tuntutan mereka,

“Inilah sebenarnya yang akan kita lakukan dan cari mereka sebab kita dapat berita bahawa mereka inilah yang sebenarnya menjadi penggerak dan yang memberikan maklumat kepada mereka (kumpulan Sulu),” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (WARISAN-Semporna) berhubung langkah konkrit untuk memuktamadkan supaya masalah keselamatan dan kedaulatan Sabah ini tidak berlarutan.

Ketika diminta menamakan dalang yang sudah dikenal pasti, Azalina bagaimanapun berkata perkara itu tidak boleh dilakukan, namun kerajaan dalam proses mengenal pasti petualang berkenaan.

“Kalau kita sebut dalam dewan, tiba-tiba petualang lari macam mana Yang Berhormat? Jadi Yang Berhormat Semporna kena sabar kerana proses undang-undang juga tidak sempurna,” ujarnya.

Dalam pada itu, Azalina berkata, pihaknya bersetuju tuntutan Sulu perlu dimuktamadkan.

“Saya secara prinsip bersetuju, sepatutnya ada noktah kepada perkara ini, sebab tuntutan ini tidak akan berhenti. Tapi disebabkan mereka menyaman, kita membela, maka kita perlu menunggu sehingga hak untuk merayu,

“Saya pun mempunyai kekecewaan yang sama, lepas ini apa lagi… banyak orang boleh menuntut, itu sebabnya kita kena betul-betul menentukan bahawa apa pun strategi mesti dilakukan,

“Bagi pihak kerajaan, kita mahu tentukan bahawa mereka yang telah menganiayai kerajaan Malaysia ini perlu disaman dan memberi semula bayaran setimpal kepada segala kos-kos yang telah dibiayai oleh kerajaan,” tegasnya lagi. -airtimes.my

#semasa #airtimes #Malaysia #warissulu #Sabah

Related Articles

Leave a Reply