Home Pertahanan dan Keselamatan MINDEF akui TLDM intai perolehan kapal terpakai atasi kelewatan pembinaan LCS

MINDEF akui TLDM intai perolehan kapal terpakai atasi kelewatan pembinaan LCS

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 24 Jun – Kementerian Pertahanan (MINDEF) tidak menafikan bahawa Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah menerokai kajian perolehan kapal-kapal terpakai sebagai satu pendekatan dalam menangani isu kelewatan pembinaan Kapal Tempur Pesisir (Littoral Combat Ships, LCS).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ia termasuklah perolehan membabitkan kapal kelas frigat HMAS Anzac milik Tentera Laut Diraja New Zealand.

Namun, beliau berkata, setelah diteliti TLDM merumuskan bahawa kapal itu tidak bersesuaian berdasarkan beberapa faktor.

“TLDM rumuskan kapal-kapal dimaksudkan itu iaitu HMAS Anzac ianya tidak sesuai berdasarkan kepada perkara seperti isu berkaitan peralatan selain daripada kos perolehan yang tidak menguntungkan kepada kerajaan,

“Lebih-lebih lagi, jika lakukan perolehan terhadap kapal HMAS Anzac ini, proses akan ambil masa dijangkakan sehingga tahun 2027 dan pada tahun itu kita sudah dibekalkan dengan 2 kapal LCS iaitu pertama dan kedua. Kapal LCS pertama dan kedua akan diserahkan kepada TLDM serta mula beroperasi dalam tahun 2027,

“Oleh kerana hampir keseluruhan HMAS Anzac guna peralatan yang berbeza, maka kita buat keputusan ia tak sesuai dan bukan untuk kepentingan kerajaan serta rakyat Malaysia,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) yang menyatakan kewajaran pihak kerajaan untuk membuat kajian tentang perolehan kapal HMAS Anzac tersebut.

Dalam masa yang sama, Mohamed Khaled turut menjelaskan, MINDEF sebelum ini juga telah melakukan perolehan 3 kapal misi pesisir (LMS) dari Turkiye yang mana ketiga-tiganya akan siap menjelang akhir tahun 2027.

Tambahnya, dengan perolehan kapal-kapal tersebut, ia menjadikan keseluruhan 5 buah kapal akan mula berkhidmat dengan TLDM pada 2027.-airtimes.my

#pertahanan #airtimes #TLDM #Malaysia #aset

Related Articles

Leave a Reply