Home Semasa Malaysia ulangi pendirian, sokong segala usaha hentikan kekejaman ke atas Palestin – Mohamad

Malaysia ulangi pendirian, sokong segala usaha hentikan kekejaman ke atas Palestin – Mohamad

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 24 Jun – Malaysia akan terus menyokong segala usaha untuk memastikan konflik terhadap penduduk Palestin di Gaza ditamatkan, termasuklah melalui penyelesaian 2 negara.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan, keutamaan ketika ini adalah untuk menghentikan kekejaman rejim Zionis yang berterusan membunuh rakyat Palestin setiap hari.

Sehubungan itu katanya, Malaysia menyokong resolusi yang digubal Amerika Syarikat (AS) bagi menyokong rancangan gencatan senjata di Gaza.

“Kekejaman ini mesti diberhentikan sekurang-kurangnya pembunuhan diberhentikan. Lepas tu macam mana nak cerita kita cerita,

“Namun apa yang berlaku bukanlah (pembunuhan) diberhentikan, tetapi makin hari makin dibunuh,” katanya menjawab soalan tambahan Tan Sri Abdul Hadi Awang (PN-Marang) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang meminta penjelasan sama ada kerajaan akan menyemak semula dasar ‘two-state solutions’ atau penyelesaian dua negara bagi mempertahankan kedaulatan rakyat Palestin di Gaza.

Mengulas lanjut beliau berkata, harapan kini bergantung kepada cadangan gencatan senjata bagi menamatkan perang di Gaza yang dikemukakan oleh Amerika Syarikat (AS) dan telah diterima Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini.

“Saya sendiri ada berjumpa sendiri dengan (Setiausaha Negara AS, Antony) Blinken di Amman (Jordan) dan saya tegaskan kepadanya kepyusan ditangan anda,

“Kita mahu supaya usul dia yang diterima PBB itu dilaksanakan. Sama ada Israel terima atau tidak terima, terpulang kepada AS, sebab mereka bersekutu, dan sekutunyalah yang sepatutnya memastikan sekutunya Israel itu penuhi dan mematuhi resolusi yang sudah dibuat Majlis Keselamatan PBB,” katanya lagi.

Tambah Mohamad, Malaysia bersama 13 negara lain menganggotai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut menyokong usul Amerika Syarikat untuk menyelesaikan konflik di Palestin melalui 3 fasa.

“Semua negara sokong, fasa pertama gencatan senjata kekal, kemasukan bantuan kemanusiaan dan pembebasan tebusan, kedua pertukaran tahanan warga Palestin dan pengunduran penuh Israel dari Gaza dan akhirnya pembinaan semula Gaza,

“Resolusi diterima PBB mesti dikuat kuasa, kita sokong gencatan senjata dibuat, pembebasan tebusan dan hak rakyat Palestin kembali ke tanah air mereka dengan sempadan pra 1967 dan Baitulmaqdis timur ibu negara Palestin, lepas itu nak buat pilihan raya terpulang,” jelasnya lagi. -airtimes.my

#semasa #Palestin #Malaysia #airtimes

Related Articles

Leave a Reply