Home Pertahanan dan Keselamatan Bekas pensyarah antara 8 ditahan disyaki terlibat DAESH

Bekas pensyarah antara 8 ditahan disyaki terlibat DAESH

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 24 Jun – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 8 individu tempatan termasuk 2 wanita disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Daesh, menerusi operasi khas di 4 negeri pada 22 dan 23 Jun lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan perkera tersebut selepas mendapati wujud ancaman terhadap Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri, beberapa orang kenamaan serta pimpinan PDRM.

“PDRM melalui Cawangan Khas berjaya mematahkan ancaman elemen ekstremisme, radikalisme dan keganasan di Malaysia dengan penangkapan 8 suspek pada 22 dan 23 Jun 2024 dalam suatu operasi serentak di 4 negeri iaitu di Johor, Kelantan, Selangor dan Perak,

“Semua suspek yang ditahan ini berusia antara 25 hingga 70 tahun,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Timbalan Pengarah Cawangan Khas II Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Abdul Majid.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, kesemua suspek memiliki kepelbagaian latar belakang pekerjaan dan status ekonomi termasuk penganggur, suri rumah, pekerja binaan serta bekas pensyarah di semuah universiti tempatan.

Tambahnya, semua suspek kini ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut.

Ketika ditanya sama ada semua suspek yang ditahan mempunyai hubung kait dengan serangan Balai Polis Ulu Tiram, Johor, Saifuddin berkata polis masih menjalankan siasatan.

“Cawangan Khas E8 (Anti Pengganas) Bukit Aman ini, cawangannya khusus, mereka buat kerja itu sepanjang masa, jadi kita tidak akan kait satu-satu (kes),” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan kepada rakyat Malaysia supaya terus prihatin dan peka terhadap ancaman bentuk baharu oleh elemen ekstremisme, radikalisme dan keganasan.

“Kerana ketika ini mereka menyalahgunakan perkembangan teknologi moden serta menjadikan media sosial sebagai salah satu medium menyebarkan fahaman yang membahayakan,

“Kerajaan Malaysia bertegas, bahawa tiada sebarang kompromi terhadap mana-mana pihak yang menjadi penghasut, pelaku, penyokong dan pemberi simpati buat elemen ekstremisme, radikalisme dan keganasan di negara ini,”jelasnya lagi.

Tegasnya, pihak berkuasa tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penguatkuasaan yang paling berat ke atas golongan ini.

“Kerajaan menggesa orang ramai, aktivis masyarakat, organisasi serta badan bukan kerajaan, pihak swasta dan semua pihak untuk berkerjasama menggembeleng usaha bagi bersama-sama menangani ancaman ini daripada menggugat perpaduan dan keamanan negara,

“Saya juga menasihatkan orang ramai agar tidak perlu berasa gusar terhadap tahap keselamatan dan ketenteraman awam di Malaysia,” katanya.-airtimes.my

#keselamatan #DAESH #PDRM #airtimes #KDN

Related Articles

Leave a Reply