Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Udara TUDM hantar pesawat laksana operasi pembenihan awan, tangani impak El Nino di Kelantan

TUDM hantar pesawat laksana operasi pembenihan awan, tangani impak El Nino di Kelantan

by Nurulhuda

SUBANG, 22 Jun 24 – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah menghantar sebuah pesawat pengangkut C-130H bagi melaksanakan operasi pembenihan awan (OPA) di ruang udara Kelantan, semalam.

Operasi yang dijalankan melibatkan kerjasama bersepadu bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Menurut TUDM, misi OPA yang akan dilaksanakan selama 3 hari bermula semalam itu adalah bagi menangani impak El Nino yang memberi kesan kepada sektor tanaman di negeri Kelantan.

“Kerja-kerja OPA bermula dengan proses bancuhan air garam oleh pihak MET Malaysia dan TUDM sebanyak 4 tong dengan muatan 1000 liter setiap tong sebelum dimasukkan ke dalam pesawat C130H, No 20 Skuadron,

“Pesawat kemudiannya telah diterbangkan oleh Pegawai Memerintah No 20 Skuadron, Leftenan Kolonel Mohd Khairol Fadly Abu Bakar TUDM, bersama 8 anak kapal yang lain,” jelas TUDM dalam hantaran di media sosialnya, pada Jumaat.

Sebanyak 4 tangki bancuhan larutan garam dengan muatan 1,000 liter setiap tong disediakan sebelum dimasukkan ke dalam pesawat C130H, No 20 Skuadron. Foto: TUDM

Tambah TUDM, penerbangan ini turut disertai oleh petugas MET Malaysia, NADMA dan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA).

Pada Selasa, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan bersetuju melaksanakan OPA) di Kelantan bagi meningkatkan paras air Sungai Kelantan agar dapat mengairi kawasan pertanian yang terjejas.

Jelasnya, operasi tersebut adalah tindakan awal Kerajaan Persekutuan bagi mengatasi penyusutan air Sungai Kelantan dan menangani impak fenomena cuaca panas serta Monsun Barat Daya yang dijangka berterusan sehingga penghujung September 2024.

“Malah, taburan hujan yang rendah dicatatkan bermula Februari hingga April tahun ini menyumbang kepada penyusutan paras air Sungai Kelantan serta mengganggu operasi pam di seluruh Kawasan KADA,” katanya dalam satu kenyataan. -airtimes.my

#airtimes #pembenihanawan #TUDM #NADMA #MetMalaysia

Related Articles

Leave a Reply