Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat 10 PATI Myanmar gagal ceroboh masuk Malaysia

10 PATI Myanmar gagal ceroboh masuk Malaysia

by Nurulhuda

BUKIT KAYU HITAM, 22 JUN – Tentera Darat Malaysia (TDM) menggagalkan cubaan 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar yang memasuki negara melalui laluan haram di sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Div) dalam kenyataan berkata, semua PATI itu dikesan di kawasan bawah Sektor Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia (KTJ 6 Bgd) kira-kira 3.40 petang, semalam.

“Pasukan beroperasi yang sedang melaksanakan rondaan telah mengesan dan menahan sekumpulan orang awam dalam keadaan mencurigakan di kawasan kebun getah di sempadan Malaysia-Thailand,

“Hasil pemeriksaan mendapati semua 10 orang awam terdiri daripada 7 lelaki dan 3 wanita berusia antara 21 hingga 49 tahun adalah warganegara Myanmar dan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah. Mereka cuba masuk ke Malaysia melalui laluan haram di sempadan,” kata 2 Div dalam kenyataan, hari ini.

Pihak 2 Div menambah, 6 buah telefon bimbit, 12 beg, satu pasport palsu dan wang tunai dalam mata wang Thailand serta Myanmar dengan anggaran nilai keseluruhan RM3,326 turut dirampas.

PATI berkenaan kemudian diserahkan kepada Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut.

Tambah pihak 2 Div, pasukan beroperasi akan terus memastikan keselamatan sempadan negara daripada aktiviti jenayah rentas sempadan khususnya kemasukan PATI.-airtimes.my

#pertahanan #TDM #PATI #Myanmar #Malaysia #airtimes

Related Articles

Leave a Reply