Home Pertahanan dan Keselamatan PLKN 3.0 dilaksanakan dengan konsep baharu – Khaled Nordin

PLKN 3.0 dilaksanakan dengan konsep baharu – Khaled Nordin

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 21 Jun – Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 akan dilaksanakan semula mulai pertengahan tahun depan, setelah dimansuhkan pada 2018 lalu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, PLKN 3.0 tersebut akan dilaksanakan dengan konsep baharu.

Menurutnya, ia merangkumi 2 komponen utama iaitu Asas Ketenteraan (70%) oleh Kementerian Pertahanan dan Asas Kenegaraan (30%) oleh Akademi Kenegaraan Malaysia.

“PLKN 3.0 ini merupakan salah satu strategi menanam semangat patriotisme dan usaha berterusan membentuk rizab modal insan yang bersedia digerakkan untuk apa-apa maksud pertahanan negara sekiranya diperlukan,

“Ia akan melibatkan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau berusia 17 tahun di Kem-Kem Askar Wataniah dan Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) yang memenuhi kriteria keperluan PLKN,

“Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan memuktamadkan beberapa perkara berhubung pelaksanaan PLKN 3.0 ini dan Program Perintis PLKN 3.0 dijadualkan bermula pada pertengahan tahun hadapan,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosialnya pada Khamis.

Terdahulu, beliau telah mendengar taklimat PLKN 3.0 yang disampaikan oleh Ketua Eksekutif Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MiDAS), Mejar Jeneral Datuk Ya’cob Samiran di Kementerian Pertahanan, semalam.

Menteri Pertahanan sebelum ini, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan, templet PLKN terdahulu lebih cenderung kepada summer camp (perkhemahan musim panas) dan tidak mempunyai kesinambungan.

Tegasnya, PLKN 3.0 tidak membelanjakan peruntukan yang banyak tetapi ia akan memberikan pulangan yang baik kepada modal insan yang akan menyertai program tersebut.

Pada masa yang sama, Mohamad menjelaskan, pusat-pusat latihan fasa PLKN 3.0 akan melibatkan kem-kem tentera dengan melihat bilangan kem Rejimen Askar Wataniah di seluruh negara yang boleh menampung keperluan tersebut.

Jelasnya, langkah tersebut merupakan satu langkah penjimatan dan mengelakkan perbelanjaan besar. -airtimes.my

#PLKN #airtimes #pertahanan #MINDEF #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply