Home Semasa Malaysia, China setuju selesai pertikaian Laut China Selatan secara aman

Malaysia, China setuju selesai pertikaian Laut China Selatan secara aman

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 21 Jun – Malaysia dan China bersetuju menyelesaikan pertikaian di Laut China Selatan secara aman melalui perbincangan dan rundingan mesra dan menekankan kepentingan untuk mengekalkan keamanan, keselamatan serta kestabilan di kawasan tersebut.

Menerusi kenyataan bersama, kedua-dua negara menegaskan rundingan perlu dilakukan mengikut prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf secara umum termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982 mengenai Undang-undang Laut.

“Kedua-dua pihak akan melancarkan dialog dua hala mengenai pengurusan isu maritim secepat mungkin bagi mewujudkan dialog dan kerjasama maritim,

“Kedua-dua pihak bekerjasama dengan negara ASEAN lain untuk melaksanakan sepenuhnya dan berkesan Deklarasi Kod Tatalaku Pihak-pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (DOC) secara keseluruhan dan menantikan kesimpulan awal Kod Tatalaku di Laut China Selatan (CoC) yang berkesan dan substantif,” menurut kenyataan bersama China dan Malaysia pada Khamis.

CoC bertujuan mewujudkan asas kerjasama demi mengekalkan keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan, menyaksikan China dan beberapa anggota ASEAN termasuk Malaysia, Indonesia dan Filipina mempunyai pertikaian wilayah dan tuntutan bertindih.

Mengulas lanjut, kedua-dua pemimpin bersetuju kepentingan memelihara dan mengekalkan keamanan dan keselamatan di rantau Asia Pasifik, disokong oleh penghormatan terhadap kedaulatan dan pematuhan kepada peraturan dan norma yang dipersetujui.

“Kedua-dua negara bersetuju untuk menyokong usaha memelihara Asia Tenggara sebagai rantau yang bebas daripada senjata nuklear dan senjata pemusnah besar-besaran, sambil menyumbang kepada usaha global mengenai pelucutan senjata, ‘non-proliferation’ dan penggunaan tenaga nuklear secara aman, selaras dengan perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ),” tambah kenyataan itu lagi.

Dalam kenyataan yang sama, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Li Qiang juga bersetuju meningkatkan kerjasama dalam bidang industri pertahanan serta meningkatkan pertukaran termasuk kerjasama mengenai keselamatan negara.

Anwar dan Li mengulangi tentangan terhadap sebarang bentuk keganasan dan akan mengukuhkan kerjasama dalam keselamatan penguatkuasaan undang-undang dan antikeganasan, bersama-sama menangani jenayah rentas sempadan dan menyumbang kepada keamanan dan kestabilan serantau.

Li tiba di Malaysia untuk lawatan rasmi 3 hari pada hari Selasa.

Lawatan beliau bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China susulan pemeteraian Penyataan Bersama antara Perdana Menteri kedua Malaysia Abdul Razak Hussein dan Perdana Menteri China ketika itu, Chou En Lai pada 31 Mei 1974.

China merupakan rakan dagangan terbesar Malaysia sejak 2009. Tahun lepas jumlah perdagangan dengan China bernilai RM450.84 bilion (USD98.80 bilion), mewakili 17.1% daripada perdagangan global Malaysia.-airtimes.my

#semasa #Malaysia #China #airtimes #DSAI

Related Articles

Leave a Reply