Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Anggota tentera hilang ketika OP UKUR sempadan

Anggota tentera hilang ketika OP UKUR sempadan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 21 Jun – Tentera Darat Malaysia (TDM) mengesahkan, seorang anggotanya dilaporkan hilang ketika menjalankan Operasi (Op) UKUR di kawasan sempadan Malaysia-Brunei pada Selasa lalu.

Sel Perhubungan Raya TDM memaklumkan, anggota dari Batalion Ke-7 Rejimen Sempadan (RS) yang berpengkalan di Kem Kidurong, Bintulu iaitu 1212075 Prebet Muhammad Syafiq Hilmi Abd Halim didapati hilang ketika melaksanakan operasi bersama Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM) Sarawak.

Menurut TDM, ketiadaan anggota dikesan pada 18 Jun 2024 lebih kurang jam 12 tengah hari, ketika Ketua Kumpulan mendapati anggota tiada diposisi belakang kumpulan.

“Kejadian berlaku pada kedudukan dijarak 2 kilometer (Km) di atas permatang sempadan Malaysia-Brunei dari tanda sempadan E500 menghala ke arah E600,

“Usaha mencari dan mengesan anggota telah segera dilaksanakan oleh kumpulan tersebut yang terdiri daripada 2 anggota TDM dan 5 anggota JUPEM, namun gagal menemui anggota,

“Usaha pencarian juga telah dipergiatkan oleh TDM sejak Selasa lalu di kawasan tersebut dengan melibatkan kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta agensi awam lain yang dikoordinasikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) iaitu PDRM dan BOMBA,” jelas TDM dalam kenyataan pada Jumaat.

Jelas TDM, Op UKUR merupakan operasi yang dilaksanakan di bawah kawalan Markas 31 Briged Sempadan, yang melibatkan penempatan anggota TDM sebagai Pengiring Keselamatan kepada pasukan JUPEM yang sedang melaksanakan penandaan dan pengukuran sempadan Malaysia-Brunei Darussalam di kawasan pengukuran Ulu Tutong (E500) ke Bebuloh (E600), Limbang mulai 11 Jun hingga 2 September 2024.

Dalam kenyataan yang sama, pihak TDM turut berharap anggota berkenaan dapat ditemui dalam keadaan selamat.

“TDM juga berharap agar masyarakat tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menggangu misi pencarian ini serta menjaga perasaan waris anggota yang terlibat,” tambah kenyataan itu lagi.-airtimes.my

#TDM #airtimes #operasi #OpUkur #JUPEM #Sarawak

Related Articles

Leave a Reply