Home Semasa Malaysia, China lanjutkan pengecualian visa untuk kukuhkan hubungan dua hala

Malaysia, China lanjutkan pengecualian visa untuk kukuhkan hubungan dua hala

by Bernama

KUALA LUMPUR, 20 Jun – Malaysia dan China menyokong usaha berterusan berhubung pengecualian visa bagi memupuk hubungan persahabatan, menurut satu Kenyataan Bersama antara dua negara berkenaan hari ini.

Kenyataan itu berkata China bersetuju untuk melanjutkan kemudahan itu sehingga akhir 2025 dan sebagai balasan, Malaysia akan melanjutkan pengecualian visa sehingga akhir 2026.

“Kedua-dua pemimpin (Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri China Li Qiang) mengalu-alukan minat yang mendalam untuk meneruskan perundingan dan perbincangan mengenai pengecualian visa bersama bagi memudahkan kemasukan rakyat Malaysia dan China,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan Bersama itu turut menyatakan bahawa kedua-dua pihak bersetuju untuk meningkatkan kerjasama pendidikan ke tahap baharu, mengukuhkan kerjasama dalam pendidikan vokasional, penyelidikan saintifik bersama dan pendidikan digital.

Malaysia dan China juga bersetuju untuk bekerjasama dalam pencalonan multinasional bagi memasukkan unsur tarian singa pada Senarai Wakil Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi Warisan Budaya Tak Ketara (ICH) Kemanusiaan, memandangkan kedua-dua pihak meraikan tarian singa sebagai satu bentuk perkongsian sejarah dan bersama-sama mempromosikan pemeliharaan warisan bersama.

Kenyataan itu juga berkata kedua-dua negara turut mengesahkan untuk melaksanakan pusingan baharu penyelidikan bersama mengenai perlindungan panda bagi memperingati ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik dan mengukuhkan kerjasama penyelidikan saintifik.

Li berlepas pulang hari ini selepas menamatkan lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia. – Bernama

#semasa #Malaysia #China #DSAI #airtimes

Related Articles

Leave a Reply