Home SemasaGlobal Jerman bentang strategi, persiapan ketenteraan dan persediaan rakyat jika berlaku perang di Eropah

Jerman bentang strategi, persiapan ketenteraan dan persediaan rakyat jika berlaku perang di Eropah

by Zaki Salleh

BERLIN,  19 JUN – Jerman, bekas kuasa dunia dan Eropah semasa era Perang Dunia Kedua buat pertama kalinya membentangkan pelan persiapan untuk menghadapi kemungkinan perang.

Tewas dalam dua perang dunia, Jerman yang juga merupakan kuasa teknologi dan kejuruteraan Eropah berbuat demikian dengan jangkaan kemungkinan berlaku konflik pada masa depan.

Kerahan tenaga, catuan dan menetapkan semua kemudahan stesen tren bawah tanah menjadi kubu antara strategi tersebut.

Buat pertama kali sejak Perang Dingin, Jerman telah mengemas kini pelan strategik ini sekiranya konflik meletus di Eropah.

Satu dokumen setebal 67 muka surat bertajuk Arahan Rangka Kerja Pertahanan yang dikeluarkan minggu lalu menggariskan transformasi tersebut.

Ia melibatkan keseluruhan sistem dalam negara termasuk kehidupan rakyat Jerman sekiranya perang berlaku.

Langkah ini diambil dengan jangkaan konflik di Eropah yang sedang berlaku di Ukraine akan berpanjangan dan melarat.

Berlin sebelum ini berpegang kepada dasar antiperang sejak Perang Dunia Kedua.

Menteri Pertahanan Jerman, Boris Pistorius mendakwa bahawa Rusia sedang bersiap sedia untuk konflik lain.

“Rusia telah beralih kepada ekonomi perang dan telah meneruskan persenjataan semulanya. Kita tidak sepatutnya percaya bahawa Putin akan berhenti di sempadan Ukraine jika dia sampai sejauh itu,” katanya.

Malah, Jerman mesti mempunyai keupayaan untuk berperang termasuk mempunyai rakyat yang layak untuk mengangkat senjata sehingga tahun 2029.

Katanya, Rusia menimbulkan ancaman kepada Georgia, Moldova dan akhirnya kepada NATO, dan oleh itu Jerman mesti terus memberikan sokongan ketenteraan kepada Ukraine.”

Pistorius menyeru penggubal undang-undang untuk menyokong usaha kerajaan untuk Ukraine, dan rancangannya untuk meningkatkan perbelanjaan pertahanan dengan ketara pada tahun-tahun akan datang.

“Kita tidak boleh mengabaikan pertahanan dan kesediaan operasi kita sendiri. Ekonomi perang Putin sedang berusaha ke arah konflik lain.

“Kita mesti cergas untuk berperang menjelang 2029, kita mesti menyediakan pencegahan untuk mengelakkan perkara terburuk daripada berlaku,” katanya.

Berdasarkan garis panduan strategik baharu itu, kerahan tenaga mandatori akan kembali berkuat kuasa termasuk khidmat buruh mahir berumur lebih 18 tahun.

Khidmat tenaga profesional termasuk doktor, ahli psikologi, jururawat dan doktor haiwan boleh diserap untuk membantu tentera.

Pelan kecemasan Berlin itu turut menyebut tentang pelaksa­naan catuan makanan sekiranya negara berdepan situasi sukar.

Pencerobohan Russia di Ukraine mengubah sepenuhnya situasi keselamatan di Eropah, terutamanya blok Kesatuan Eropah (EU) timur dan anggota NATO.

Konflik ini turut melibatkan ancaman hibrid seperti serangan siber, pengintipan dan penyebaran maklumat palsu.

Sejak serangan bersenjata Rusia ke atas Ukraine pada 24 Februari 2022, Jerman telah menghantar bantuan ketenteraan berjumlah kira-kira $5.2 bilion euro.

Selain itu, lebih 10,000 askar Ukraine telah menerima latihan ketenteraan di Jerman. – airtimes.my

#AirTimes #Global #Jerman

Related Articles

Leave a Reply