Home Teknologi Pertahanan Augmented Knowledge (AK): Inovasi latihan senggaraan dari Korea Selatan

Augmented Knowledge (AK): Inovasi latihan senggaraan dari Korea Selatan

by M.Daim

Dalam dunia pertahanan mahupun awam, aspek penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (Maintenance, Repair and Overhaul, MRO) merupakan salah satu perkara yang penting.

Aktiviti ini melibatkan pemeriksaan fungsi, servis, pembaikan mahupun penggantian peralatan mahupun peranti pada sesebuah infrastruktur, bangunan mahupun sesebuah kenderaan.

Sebagai contoh, sesebuah pesawat perlu menjalani penyelenggaraan khusus selepas sesuatu tempoh penerbangan. Secara analogi, kereta peribadi yang digunakan oleh kita secara seharian perlu menjalani penyelenggaraan sekiranya telah mencapai had kilometer tertentu.

Pun begitu, industri MRO adalah lebih besar daripada sekadar membaiki kenderaan kerana ia meliputi beberapa aspek kritikal termasuk dari segi sudut undang-undang dan polisi. Sesebuah pesawat tidak boleh diselenggara oleh sesiapa sahaja kerana ia memerlukan pengesahan dari segi kemahiran dan pengetahuan.

Tanpa MRO, industri penerbangan mahupun operasi pesawat tempur tidak boleh berjalan lancar.

Paparan sistem pembelajaran yang digunakan pada Intelligent Augmented Reality Maintenance Platform (IAR-MAP). Foto: Pasri

Disebalik industri MRO pula, ia memerlukan tenaga kemahiran dan kepakaran tertentu. Untuk melahirkan sesuatu tenaga kemahiran, ianya bukanlah sesuatu yang mudah dengan mengambil kira dari segi sudut kos dan juga masa.

Semasa pameran Defense Services Asia (DSA) 2024 baru-baru ini, sebuah syarikat dari Korea Selatan telah hadir dengan penyelesaian tersendiri dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran.

Augmented Knowledge (AK) telah menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan juga realiti terimbuh (augmented reality, AR) dalam menghasilkan produk simulator mereka.

Produk yang dikenali sebagai Intelligent Augmented Reality Maintenance Platform (IAR-MAP) ini dihasilkan bagi memudahkan pembelajaran bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran.

Menurut Kevin GS Jo, salah satu halangan dalam menghasilkan tenaga kerja berkemahiran adalah jarak dan juga kos.

Intelligent Augmented Reality Maintenance Platform (IAR-MAP) diperkenalkan oleh Augmented Knowledge (AK) memudahkan sistem pembel;ajaran bidang kritikal. Foto: Air Times/ Huda

“Antara perkara yang berlaku adalah di mana latihan penyelenggaraan dilakukan tanpa mempunyai pesawat sebenar di hadapan para pelajar mahupun pelatih,

“Perkara ini terjadi kerana harga pesawat sebenar untuk digunakan bagi tujuan latihan adalah mahal,” katanya kepada Air Times semasa pameran DSA baru-baru ini.

Perkara ini sememangnya berlaku pada diri sendiri penulis semasa menjalani pengajian bagi industri. Ketiadaan objek sebenar, sebagai contoh, pesawat sudah tentu sedikit mencacatkan proses pembelajaran.

Malah, sesi pembelajaran secara teori tanpa visual dan praktikal sebenar membantutkan tahap pemahaman seseorang pelatih.

Pembelajaran menggunakan gabungan visual sebenar dan disertakan manual yang tepat adalah satu kelebihan yang amat diharapkan oleh para pelatih bagi mendalami subjek yang dipelajari.

Jelas Kevin, teknologi yang diperkenalkan oleh pihak syarikatnya telah mengatasi isu tersebut dengan mengabungkan manual pembelajaran dalam AR.

Melalui sistem ini, pengguna akan mempelajari latihan mereka dengan langkah demi langkah. Foto: Pasri

“Produk ini mempunyai visual dan manual. Manual yang disertakan adalah terperinci dan mereka (pelajar) tidak perlu mencari bahan tersebut,

“Komputer akan mencari arahan yang tepat dari manual dan dipamerkan secara terperinci kepada pengguna.Apa yang mereka dapat lihat adalah komponen dan manual pada masa yang sama,” ujar beliau.

Jelasnya, penggunaan manual berasaskan kertas tidak efisien dan mempunyai kadar kesilapan yang tinggi. Antara kelebihan lain produk ini adalah pelajar tidak perlu bimbang mengenai jarak pembelajaran.

Menurut Kevin, seseorang pelatih boleh mengakses objek pembelajaran seperti pesawat Boeing 737 di mana sahaja. Kemampuan akses sebegini membolehkan proses pembelajaran boleh dilakukan secara jarak jauh.

Menurut pihak AK, latihan sebegini juga mengatasi akses terhad kepada sesebuah objek secara fizikal.

Melihat kepada keupayaan teknologi ini, sudah tentu ianya memberikan kelebihan tersendiri dalam melaksanakan pembelajaran teknikal terutamanya dalam hal penyelenggaraan pesawat. Tambahan pula, pembelajaran secara ‘in situ’ adalah agak mustahil untuk dilakukan sekiranya subjek yang dipelajari memakan kos yang tinggi.

Kemampuan AK ini mempunyai potensi besar dan mungkin memberikan nilai pengganda kepada sistem pembelajaran – bukan sahaja dalam bidang teknikal, mungkin juga dalam bidang kritikal lain seperti perubatan. – airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #Teknologi

Related Articles

Leave a Reply