Home Pertahanan dan Keselamatan Rumah kongsi PATI kosong, majikan upah tonto jaga kawasan – JIM

Rumah kongsi PATI kosong, majikan upah tonto jaga kawasan – JIM

by Nurulhuda

KEPALA BATAS, 14 Jun – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengesan taktik baharu majikan di tapak pembinaan dengan mengupah tonto sebagai langkah awal mendapatkan maklumat bagi membolehkan pendatang asing tanpa izin (PATI) meloloskan diri sebelum operasi oleh pihak berkuasa.

Pengarah Imigresen Pulau Pinang, Nur Zulfa Ibrahim berkata, perkara itu dikesan selepas operasi yang dijalankan pihaknya di projek perumahan Taman Bandar Putra Bertam semalam, menghadapi kesulitan apabila pergerakan pasukan dihidu kumpulan tonto.

Beliau berkata, tonto terbabit bertindak mengekori dan memantau gerak geri anggota penguat kuasa imigresen dengan menyalurkan maklumat kepada individu yang berkepentingan.

Menurutnya, pemeriksaan di penempatan didiami warga asing berdekatan projek perumahan berkenaan mendapati sebahagian rumah kongsi di situ kosong tidak berpenghuni.

“Pemeriksaan dilakukan menemui sekumpulan warga asing yang memiliki dokumen perjalanan dan pas yang sah,

“Manakala hanya 7 PATI warga Myanmar serta Nepal yang tidak sempat melarikan diri ditahan kerana tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan berserta pas yang sah,” katanya dalam hantaran di Facebook JIM Pulau Pinang, pada Khamis.

Tambah Nur Zulfa, berdasarkan aduan dan risikan, pihaknya percaya kawasan itu didiami hampir 100 PATI.

“Temu bual ke atas pekerja asing yang berada di situ juga mengesahkan kewujudan PATI di tempat berkenaan namun mereka telah meninggalkan tempat berkenaan sebelum pihak penguatkuasa tiba,” ujarnya lagi.

Dalam masa yang sama, beliau berkata, gerakan operasi seterusnya akan diperhalusi di samping satu siasatan akan dilakukan bagi mengenal pasti mereka yang mempunyai kaitan menggadai integriti dan amanah jabatan itu.

“Jabatan Imigresen tidak akan berkompromi berkenaan tindakan yang sengaja mencabar undang-undang dan perkara yang melibatkan keselamatan dan kedaulatan negara,” tegasnya. -airtimes.my

#keselamatan #airtimes #PATI #JIM

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!