Serangan kimia, biologi, radiologi, nuklear dan letupan (Chemical, Biological, Radiological, Nuclear, and Explosive, CBRNe) bukanlah satu bentuk ancaman baharu di dunia termasuk Malaysia.
Sebagai contoh, gas sarin dan wabak antraks yang dikaitkan dengan serangan di New York dan Washington, Amerika Syarikat pada September 2001 menjadi senjata biologi yang efektif, selain menimbulkan suasana panik.
Dalam kejadian itu, seramai 5 orang maut dan 17 orang cedera apabila spora bakteria antraks disebarkan dalam bentuk serbuk dan diposkan kepada mereka yang berkenaan.
Serangan menggunakan senjata biologi boleh berlaku di mana-mana negara, khususnya oleh kumpulan pengganas, lantas memerlukan kebolehan untuk berhadapan dengan ancaman sedemikian.
Bagi sesebuah pasukan khas tentera atau polis, anggotanya mesti dilatih untuk menumpaskan musuh dalam kemahiran berkaitan CBRNe kerana corak operasi dan taktikal adalah berbeza, selain perlu mengetahui tahap-tahap serangan kimia serta biologi dan memiliki pengetahuan dalam bidang sains.
Ancaman ini tidak hanya mengancam nyawa anggota tentera, tetapi juga keselamatan negara secara keseluruhan.
Sehubungan itu, untuk menghadapi ancaman yang kompleks ini, Tentera Darat Malaysia (TDM) melalui Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) telah mengambil langkah-langkah proaktif dengan menekankan kepentingan kesiapsiagaan dan kecekapan dalam menangani ancaman tersebut.
Serangan CBRNe ancaman utama operasi Tentera Darat
Dalam demontrasi yang diadakan baru-baru ini, ancaman CBRNe diketengahkan sebagai ancaman utama.
Ketua Jurulatih Institut Kejuruteraan Medan Tentera Darat (IKEM), Leftenan Kolonel Mohd Shofian Mohd Sharir berkata, melalui demontrasi tersebut, beberapa aset ragaan dan kepakaran khusus dari pasukannya telah dipertontonkan.
Jelasnya, melalui demonstrasi ini, beberapa aset ragaan CBRNe seperti GEMPITA AV8 – yang dikenali sebagai Armoured Engineer Nuclear, Biological and Chemical Reconnaissance Vehicle (AENBCRV) telah dipamerkan.
“Kenderaan ini berkemampuan untuk melaksanakan tugas tinjauan, pengesanan dan penyahcemaran serta menjadikannya aset penting dalam operasi CBRNE,
“AENBCRV ini mampu menjalankan tugas-tugas yang kritikal termasuklah tinjauan, pengambilan sampel dan penandaan kawasan tercemar (Sampling and Identification for Biological, Chemical, Radiological Agent, SIBCRA),” jelasnya kepada Air Times.
Menurut Mohd Shofian, selain daripada aset fizikal, RAJD juga menampilkan kepakaran khusus dalam CIAD (Chemical, Biological, Radiological, Nuclear, and Explosive Incident Awareness and Response).
Ujarnya, kepakaran ini terarah kepada cara bertindak balas terhadap ancaman CBRNE dengan menggunakan aset-aset terkini.
“Sebagai contoh, Remote Explosive Ordnance Disposal Vehicle (RODV) yang terbaru dari jenama Nexter Robotics telah diperkenalkan. Walaupun begitu, RAJD juga memiliki RODV dari negara lain seperti iRobot, yang mempamerkan variasi keupayaan dari segi aset dan peralatan yang digunakan oleh pasukan CIAD,” katanya.
Kompetensi anggota, peningkatan aset faktor utama 12 Skuadron RAJD sedia hadapi ancaman CBRNe
Mengulas mengenai konteks kesiapsiagaan, Mohd Shofian berkata, hala tuju RAJD adalah bergantung kepada sinergi 3M iaitu Man (manusia), Machine (mesin), dan Method (kaedah).
Menurutnya, dari segi keanggotaan, RAJD fokus pada meningkatkan kompetensi anggota, khususnya mereka yang berkepakaran CBRNe. Usaha ini melibatkan pengisian perjawatan di pasukan 12 Skuadron RAJD CBRNe dengan anggota yang berkemahiran tinggi.
Pembangunan kompetensi ini dibentuk melalui pelaksanaan latihan, sama ada latihan tempatan, bilateral, atau multilateral, termasuk eksesais bersama negara-negara luar seperti Eksesais MANTIS iaitu eksesais bersama tentera Kanada.
Sinergi kedua iaitu Machine pula, ia merangkumi peningkatan aset-aset di pasukan 12 Skuadron RAJD CBRNE.
Jelasnya, pasukan tersebut baru-baru ini telah menerima 2 buah kenderaan AENBCRV GEMPITA serta pertambahan peralatan untuk nyahcemar.
“Dalam demonstrasi yang dijalankan, dapat dilihat bagaimana Integrated Decontamination System (IDS) melakukan area decon (pembersihan kawasan) dalam kawasan yang tercemar. Ia menunjukkan keupayaan tinggi pasukan dalam menangani situasi sebenar sekiranya berlaku ancaman tersebut,” ujarnya lagi.
Bagi Sinergi ketiga, Method, ia merujuk kepada kaedah pelaksanaan operasi dimana, apabila seseorang anggota telah mencapai tahap kompetensi yang diperlukan dan peralatan sudah tersedia, kaedah perlaksanaan operasi perlu mengikut doktrin dan TTP (Taktik, Teknik dan Prosedur) yang sebenar.
“Dengan rangkuman ketiga-tiga sinergi 3M ini, terhasil satu atur gerak pasukan CBRNe yang memenuhi kesiagaan Tentera Darat dalam menghadapi senario operasi ancaman CBRNe,” tegasnya lagi.
Dengan hasil gabungan manusia yang terlatih, mesin yang canggih dan kaedah yang tepat, RAJD dapat memastikan bahawa mereka berada di barisan hadapan dalam menghadapi ancaman CBRNe serta memberikan perlindungan terbaik kepada negara serta rakyat.-airtimes.my
#TDM #airtimes #RAJD #CBRNe #serangan #kesiagaan