KUALA LUMPUR, 12 Jun – Malaysia menggariskan 3 perkara yang perlu menjadi keutamaan warga dunia dalam memastikan konflik di Palestin diselesaikan dengan kadar segera.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam masa yang sama turut menegaskan, semua pihak harus menyokong usaha-usaha ke arah mencapai penyelesaian damai.
“Dalam jangka panjang, tindak balas kemanusiaan yang berjaya dan berkesan untuk Gaza adalah bergantung kepada 3 elemen utama iaitu,
“Punca utama konflik, iaitu pendudukan haram dan kezaliman Israel ke atas rakyat Palestin harus dihentikan, akauntabiliti melalui ‘reparative approach’ harus disabitkan ke atas Israel,
“Seterusnya, mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), terutamanya UNRWA, harus diperkasakan,” katanya dalam laman Facebooknya, hari ini.
Beliau menegaskan perkara tersebut dalam Persidangan Peringkat Tinggi “Panggilan Untuk Bertindak: Respons Kemanusiaan Segera untuk Gaza” di Amman, Jordan pada Rabu.
Pada masa sama, beliau turut menyeru masyarakat antarabangsa untuk menggandakan dan menggembleng usaha untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Gaza ekoran situasi rakyat Palestin semakin meruncing.
“Delegasi Malaysia telah menggesa masyarakat antarabangsa untuk memperbaiki penyelarasan, menghapuskan halangan-halangan dari segi birokrasi dan meneruskan pendekatan menyeluruh,
“Malaysia turut menggesa masyarakat antarabangsa untuk bersama-sama memulihkan ekonomi dan punca pendapatan rakyat Palestin, sebagai satu langkah penting ke arah merealisasikan hak mutlak rakyat Palestin,” jelasnya lagi.
Penyertaan Malaysia di persidangan ini adalah atas jemputan Raja Jordan, Raja Abdullah II; Presiden Republik Arab Mesir, Abdel Fattah El-Sisi dan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres mencerminkan keyakinan masyarakat antarabangsa ke atas keterlibatan negara dalam memperjuangkan hak asasi manusia dan kebebasan mutlak Palestin.-airtimes.my
#semasa #airtimes #Malaysia #Palestin