Home Diskusi Kolumnis: Kontrak sewa helikopter Black Hawk – batal atau ada keputusan lain?

Kolumnis: Kontrak sewa helikopter Black Hawk – batal atau ada keputusan lain?

by Zaki Salleh

Lapan tahun lalu, Kementerian Pertahanan (Mindef) hendak membatalkan perolehan 6 helikopter jenis MD-530G buatan Amerika Syarikat kerana lewat diterima.

Kontrak itu dilaporkan diluluskan dalam keadaan tiada spesifikasi ketenteraan mengenai pembelian helikopter itu, sedangkan ia perkara wajib dalam pembelian aset tentera.

Isu perolehan MD-530G juga menjadi modal politik waktu itu apabila berlaku tuding menuding antara satu pihak dengan pihak lain.

Mindef pada 2016 membeli 6 buah helikopter tempur ringan ini dengan kontrak bernilai AS$76.4 juta, bagaimana pun sehingga 2019 pesawat gagal dihantar.

Kerajaan dikatakan sudah membayar RM112.65 juta atau 35% daripada jumlah keseluruhan pembelian.

Bagaimana pun, isu perolehan helikopter MD-530G akhirnya selesai setelah syarikat pembekal menyelesaikan penghantaran kesemua pesawat pada 13 Jun 2022.

Jadi, apabila Tentera Darat berdepan dengan isu kelewatan penghantaran helikopter Sikorsky UH-60A+ Black Hawk secara sewaan, persoalannya apakah tindakan boleh diambil?

Tempoh masa yang diberikan iaitu sehingga Mei pula telah berakhir.

Isu kelewatan penghantaran ini turut mengundang pelbagai spekulasi, apatah lagi tiada sebarang kenyataan rasmi mengenainya daripada pihak Mindef mahupun kontraktor.

Sebelum ini kepimpinan Tentera Darat memberi kata putus untuk mengusulkan kepada Mindef agar kontrak sewaan itu dibatalkan.

Tentera Darat tidak berpuas hati apabila penghantaran helikopter pengangkut saiz sederhana itu lewat dilaksanakan berbanding jadual.

Jika terdapat klausa dalam syarat dan perjanjian kontrak yang membenarkan pembatalan dibuat, maka Mindef wajar membatalkan kontrak itu.

Pada masa sama Mindef perlu menyemak semula syarat perjanjian dengan teliti bagi mengelak sebarang implikasi.

Sekiranya terdapat mana-mana terma yang memberi kerugian kepada kerajaan maka keputusan pembatalan itu perlu dipertimbangkan.

Secara amnya, setiap kontrak perjanjian kerajaan termasuklah kelengkapan pertahanan mempunyai satu jawatankuasa yang berperanan memantau pelaksanaan sehingga kontrak selesai disempurnakan.

Ini kerana kebiasaannya terdapat beberapa perkara atau keperluan yang dimasukkan di dalam kontrak, misalnya pembekal perlu menyediakan latihan sebagai syarat.

Justeru, pembatalan sesuatu kontrak yang gagal disempurnakan nampak mudah tetapi ada prosedur tertentu untuk dilengkapkan.

Walaupun setelah kontrak dibatalkan, Tentera Darat masih terpaksa menunggu tempoh tertentu untuk mendapatkan helikopter lain, misalnya disewa kerana perlu menunggu tawaran kontrak baharu.

Kontrak sewaan helikopter Sikorsky UH-60A+ Black Hawk bernilai RM187 juta dimeterai sejak tahun 2022 dan mengikut perancangan awal, pesawat akan tiba pada bulan November tahun lalu.

Empat buah helikopter ini disewa untuk tempoh lima tahun sebelum Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) memutuskan perolehanan helikopter yang diinginkan.

Bagaimana pun, ia ditunda pada April lepas dan sekali lagi dilanjutkan sehingga penghujung Mei.

Mengikut perancangan sepatutnya penghantaran bagi 4 buah helikopter itu selesai pada bulan April.

Sebenarnya keputusan Tentera Darat memilih helikopter Sikorsky UH-60A+ Black Hawk adalah baik memandangkan pesawat ini diakui sebagai jentera yang telah teruji di medan perang.

Kemasukan helikopter itu pastinya melonjakkan lagi keupayaan operasi udara dan latihan Tentera Darat. – airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #Pertahanan

Related Articles

Leave a Reply