Home Teknologi Pertahanan F-16 atau Gripen, yang manakah jadi pilihan Thailand?

F-16 atau Gripen, yang manakah jadi pilihan Thailand?

by M.Daim

Thailand pada mutakhir ini dilaporkan sedang mempertimbangkan sama ada untuk membeli jet pejuang F-16 atau Gripen. Perolehan yang dijangka melibatkan 12 ke 14 buah jet pejuang baharu itu adalah projek yang dirancang untuk tahun 2025 hingga 2034.

Perolehan yang dirancang untuk tahun 2025 itu adalah yang pertama daripada 3 rancangan pembelian jet pejuang yang digariskan oleh Tentera Udara Diraja Thailand (RTAF) dalam tempoh hingga 2046.

Sehingga kini, RTAF mengoperasikan pelbagai varian F-16 semenjak 1986. Di atas kertas, tentera udara negara Asia Tenggara itu mengoperasikan 50 buah F-16, dengan 3 skuadron.

Sebahagian besar pesawat ini dibeli melalui program Peace Naresuan yang dilaksanakan secara berperingkat. Jumlah kekuatan jet pejuang ini pula ditambah dengan derma 7 buah F-16A/B dari Singapura pada sekitar 2004-2005.

RTAF merupakan antara negara pengguna jet pejuang F-16 yang utama di rantau Asia Tenggara. Foto: US Marines Corps

Selain F-16, kekuatan jet pejuang RTAF turut digalas oleh 11 Gripen yang diperolehi secara berperingkat semenjak 2011.

Perolehan jet pejuang dari Sweden oleh RTAF turut merangkumi 2 buah pesawat amaran awal udara (AEW) Saabd 340 AEW&C. Pesawat in dilengkapi dengan sistem radar ERIEYE.

Kekuatan udara RTAF turut diiringi dengan keupayaan serangan ringan yang digalas oleh Alpha Jet dan F-5E.  Peranan salah satu daripada 2 jenis pesawat ini akan digantikan dengan perolehan baharu pada tahun 2031.

Apa yang pasti, pelan perolehan terkini oleh RTAF adalah bertujuan untuk menggantikan satu skuadron F-16A/ADF yang kian berusia. Pun begitu, melihat kepada laporan media Thailand dan antarabangsa, perolehan 12 buah jet pejuang baharu itu dilakukan secara berperingkat, di mana 4 buah pembelian dirancang pada ketika ini.

JAS39 Gripen dilihat mempunyai kelebihan memandangkan SAAB dijangka akan memperkenalkan beberapa offset yang selari dengan kehendak Bangkok. Foto: Pacific Air Force

Pembelian itu dilakukan dengan peruntukan sebanyak US$ 517 juta (RM 2.4 bilion).

Perubahan politik dalaman Thailand sudah tentu memberikan perubahan kepada pelbagai polisi termasuk perolehan pertahanan. Pada awal tahun 2023, Perdana Menteri Thailand menyatakan perolehan pertahanan negara itu perlu diimbangi dengan tawaran dagangan bilateral dengan Bangkok.

Melihat kepada perkembangan polisi ini, Gripen dilihat mempunyai peluang yang cerah memandangkan ia membuka peluang kepada Saab untuk menawarkan pelbagai offset termasuk menaiktaraf radar ERIEYE pada Saab 340 AEW&C.

Tambahan pula, Thailand sebelum ini telah ‘dinafikan’ untuk memperolehi F-35 dari Amerika Syarikat. Namun begitu, RTAF dilaporkan telah ditawarkan untuk memperolehi F-16 Block 70/72.

Sama ada F-16 Block 70/72 atau Gripen E/F menjadi pilihan, ia sudah tentu bergantung dengan keputusan RTAF serta pihak kerajaan Thailand.

#AirTimes #Global #ASEAN #Thailand

Related Articles

Leave a Reply