Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Tentera Darat pamer kemampuan Sistem SHORAD Starstreak, Meriam Oerlikon 35mm

Tentera Darat pamer kemampuan Sistem SHORAD Starstreak, Meriam Oerlikon 35mm

by Nurulhuda

TANJUNG LOGOK, 9 Jun – Tentera Darat Malaysia (TDM) telah melaksanakan Eksesais Panah Jaguh (EPJ) Siri1/ 2024 yang merupakan latihan tembakan tahunan sistem artilleri pertahanan udara bertujuan untuk menguji tahap kesiapsiagaan pasukan Grup Artilleri Pertahanan Udara (GAPU).

Eksesais Panah Jaguh Siri 1/2024 ini telah berlangsung bermula pada 3 hingga 8 Jun 2024 di Lapang Sasar Bumi ke Udara di Tanjung Logok, Johor.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan telah menyempurnakan majlis penutup eksesais tersebut pada Sabtu.

TDM menerusi hantaran di media sosialnya memaklumkan, eksesais turut melibatkan kerjasama antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Antara sistem persenjataan yang diuji adalah meriam 35mm Oerlikon dan sistem pertahanam udara jarak dekat ‘Starstreak’.

“Simulasi serangan udara ini merupakan tindakan bagi menghindar serangan udara musuh dan telah dipertontonkan dengan menggunakan pesawat kawalan jauh sebagai sasaran,” jelas hantaran itu.

Starstreak adalah sistem peluru berpandu VSHORAD terpantas setakat ini, dengan kemampuan mencecah kelajuan sehinnga Mach 4.

Peluru berpandu panduan laser ini mempunyai 3 peledak berasingan dengan pemandu laser tersendiri, khusus untuk memintas dan memusnahkan sasaran yang sedang mengelak pada kekuatan 9G pada ketinggian 7,000 meter.

Selain Malaysia, beberapa negara lain di rantau ini turut menggunakan sistem pertahanan udara jarak dekat Starstreak iaitu Indonesia dan Thailand.

Sistem peluru berpandu Starstreak dibeli kerajaan pada tahun 2014 daripada firma UK Thales Air Defence Ltd. bagi menggantikan peluru berpandu lancaran bahu Starburst yang digunakan Pasukan Pertahanan Udara Tentera Laut Diraja Malaysia (PPU TLDM) dan Pasukan Pertahanan Udara Tentera Tentera Udara Diraja Malaysia (PPU TUDM).

Eksesais Panah Jagug diteruskan dengan serangan ke arah pesawat musuh untuk mengganggu dan menghalang kemaraan musuh melalui bantuan GEMPITA 30mm dari Rejimen Pertama Kor Armor Diraja (1 KAD); ACV 300 ADNAN 25mm dari Batalion Ke-7 Rejimen Renjer Diraja (Mekanize).

Selain itu, kenderaan G -WAGON yang dilengkapi mesingan berat (HMG) 12.7mm dari Batalion Ke-6 Rejimen Renjer Diraja (6 RRD) dan Tim sniper yang menggunakan senjata BARRET 12.7mm dari Unit Skuadron Zulu, Rejimen 21 Komando dan Kompeni Pandura (Para) turut mempamerkan aksi mereka.

Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim dan Panglima Medan Barat Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Huzaimi Sabri.-airtimes.my

#pertahanan #TDM #ATM #GAPU #eksesais #airtimes

Related Articles

Leave a Reply