Home Pertahanan dan Keselamatan Geng Broga tumpas, 3 dalang utama antara 15 ditahan

Geng Broga tumpas, 3 dalang utama antara 15 ditahan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 8 JUN – Sindiket penyeludupan manusia dikenali sebagai ‘Geng Broga’ ditumpaskan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerusi operasi khas yang dijalankan di Sungai Besar dan Sabak Bernam, Selangor, semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, serbuan yang dijalankan pada jam 8.05 malam itu berjaya menahan 15 individu termasuk dalang utama sindiket tersebut.

Beliau berkata berdasarkan maklumat awam dan risikan selama 2 minggu, pasukan operasi diatur gerak sebelum bertembung dengan sebuah kereta Perodua Alza, sebuah Perodua Bezza dan sebuah Proton Waja yang dipandu 3 individu dalam keadaan mencurigakan.

“Mereka mula memecutkan kenderaan setelah menyedari kehadiran pasukan operasi tetapi berjaya dipintas,

“Hasil pemeriksaan, pasukan operasi menahan seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun disyaki dalang dan 2 lelaki tempatan disyaki sebagai ‘transporter’ (pengangkut) berusia antara 31 hingga 40 tahun,” katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.

Menurutnya, turut ditahan 2 lelaki, seorang wanita serta seorang kanak-kanak lelaki, semuanya warganegara Indonesia.

Hasil soal siasat, Ruslin berkata, pasukan operasi diatur gerak ke kawasan paya bakau di sekitar Sabak Bernam dan berjaya menahan 8 lelaki warganegara Indonesia yang baru tiba dari negara terbabit melalui laluan laut.

“Jumlah keseluruhan yang ditahan ialah 15 individu berusia lingkungan 5 hingga 52 tahun,

“Hasil semakan awal mendapati 2 lelaki warganegara Indonesia tinggal lebih masa di negara ini manakala 10 lagi termasuk wanita dan kanak-kanak lelaki tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini,” jelasnya lagi.

Turut dirampas, 5 pasport Indonesia, wang tunai RM6,200 serta 3 kereta berkenaan yang dipercayai digunakan untuk mengangkut individu terbabit.

Jelas Ruslin, modus operandi sindiket adalah dengan menggunakan laluan laut untuk membawa masuk dan keluar warganegara Indonesia dari Tanjung Balai, Indonesia ke Sungai Besar menggunakan kapal nelayan sebelum menukar kepada bot kecil di tengah lautan.

“Dalang sindiket ini akan mengatur pergerakan masuk dan keluar dari Malaysia, kenderaan yang akan digunakan untuk membawa migran dan dipercayai berhubung dengan sindiket di Indonesia,

“Sindiket akan mengenakan bayaran sebanyak RM1,500 hingga RM2,500 bagi setiap seorang mengikut jantina dan telah beroperasi selama setahun,” ujarnya.

Katanya lagi, 3 lelaki tempatan disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 manakala pati disiasat mengikut Seksyen 6(3) serta Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63.-airtimes.my

#airtimes #keselamatan #JIM #Malaysia #Indonesia

Related Articles

Leave a Reply