Home Pertahanan dan Keselamatan PATKOR OPTIMA kukuh kerjasama perairan sempadan Malaysia – Indonesia

PATKOR OPTIMA kukuh kerjasama perairan sempadan Malaysia – Indonesia

by Zaki Salleh

GEORGETOWN, 6 JUN – Kerjasama dalam aspek keselamatan maritim antara agensi penguatkuasaan Malaysia – Indonesia diteruskan apabila masing-masing bergabung melalui Patrol Terkoordinasi Operasi Tindakan Maritim (PATKOR OPTIMA).

Operasi bersepadu yang memasuki siri ke-31 ini merupakan operasi dwi-tahunan yang diadakan secara kolaborasi dalam usaha mengekang jenayah rentas sempadan di Selat Melaka.

PATKOR OPTIMA  bermula pada 4 Jun hingga 13 Jun.

Sepertimana diketahui umum ini merupakan laluan utama industri perkapalan dunia.

Kerjasama serta kefahaman penguatkuasaan undang-undang maritim kedua-dua negara amat penting demi memastikan Malaysia dan Indonesia sentiasa bekerjasama..

Ini penting dalam usaha membanteras jenayah rentas sempadan.

Selain APMM, PATKOR OPTIMA 31A/2024  melibatkan Tentera Udara Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Turut terlibat ialah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Jabatan Laut Malaysia, Jabatan Perikanan Malaysia serta Jabatan Alam Sekitar.

Sementara itu di pihak Indonesia operasi ini disertai Tentera Nasional Indonesia Angkatan Laut (TNI-AL), Polis Republik Indonesia (POLRI), Kementerian Kelautan dan Perikanan (KKP), Kesatuan Penjagaan Laut dan Pantai (KPLP), Direktorat Jenderal Bea dan Cukai (DJBC) serta Direktorat Jenderal Imigrasi (IMIGRASI).

Semasa PATKOR OPTIMA tahun lalu ia telah mencatatkan sebanyak 85 tangkapan di negara ini melibatkan pelbagai kesalahan, manakala di Republik Indonesia pula merekodkan sebanyak 176 pemeriksaan di laut.

Terdahulu, tiga buah aset laut milik kerajaan Indonesia selamat berlabuh di Pelabuhan Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT) Pulau Pinang.

Ketiga-tiga aset merupakan antara aset yang bakal digerakkan bagi PATKOR OPTIMA 31A/2024.

Aset berkenaan ialah kapal ronda laju KRI Clurit (TNI-AL), KN Belut Laut (BAKAMLA) dan KP Hiu 16 (PSDKP) yang  diiring masuk ke Jeti SPCT oleh kapal KM Malawali.

Majlis perasmian PATKOR OPTIMA 31A/2024 telah disempurnakan antara Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim (BPPM) APMM Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi Abdullah dan Direktur Operasi Laut Laksamana Pertama BAKAMLA Basri Mustari.

Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi juga merupakan Ketua Tim Perancang Operasi Maritim (TPOM) APMM manakala Laksamana Pertama BAKAMLA Basri merangkap TPOM PATKOR OPTIMA Republik Indonesia.

Sementara itu dalam ucapannya, Mohd Zawawi berkata, salah laku jenayah seperti penyeludupan migran, penyeludupan dadah dan kontraban serta isu pencerobohan bot nelayan merupakan kegiatan jenayah yang lazim berlaku di Selat Melaka,

“Justeru koordinasi operasi menerusi PATKOR OPTIMA ini amat diperlukan agar kesejahteraan perairan kedua-dua negara sentiasa berada dalam keadaan yang tenteram dan selamat,” kata Mohd Zawawi.

Jelas beliau, PATKOR OPTIMA penting dalam meningkatkan kepercayaan dan keyakinan masyarakat awam terutamanya komuniti maritim.

Lebih penting adalah komuniti perdagangan perkapalan bahawa perairan Selat Melaka sentiasa dalam keadaan selamat dan aman. – airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #Keselamatan #Maritim

Related Articles

Leave a Reply