Home Pertahanan dan Keselamatan Tiger Strike 2024: Kor Marin Amerika Syarikat berlatih bersama tentera Malaysia

Tiger Strike 2024: Kor Marin Amerika Syarikat berlatih bersama tentera Malaysia

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 30 MEI – Lebih 1,100 anggota marin dan kelasi dari Amerika Syarikat akan mengadakan latihan bersama dengan Tentera Darat Malaysia.

Latihan bersama Eks Tiger Strike 2024 (TS 24) pada kali ini  melibatkan elemen 15th Marine Expeditionary Unit (MEU) dan kapal pendaratan USS SOMERSET.

Menurut pihak Amphibious Squadron 5 Tentera Laut Amerika Syarikat (US Navy), latihan bersama ini bertujuan untuk mempertingkatkan kemahiran tempur bersama dan keupayaan serangan amfibi.

Latihan ini berlangsung mulai 29 Mei 2024 hingga 6 Jun 2024 di Kuantan dan Kuala Terengganu.

Tambahnya, latihan bilateral ini turut melibatkan 300 orang anggota dari 10 Briged (Para) Tentera Darat Malaysia.

“TS 24 memberi ruang kepada kedua-dua pasukan untuk berkongsi kepakaran dalam melaksanakan pelbagai operasi ketenteraan,

“Antaranya operasi amfibi, penembakan senjata, penggunaan sistem pesawat tanpa pemandu, operasi di kawasan urban dan juga hutan,” kata Amphibious Squadron 5.

Selain itu, eksesais ini turut merangkumi ikhtiar hidup, tinjauan, kesedaran pelbagai domain (multi-domain awareness – MDA), kejuruteraan dan perubatan.

“TS 24 turut mempertingkatkan komunikasi dan koordinasi antara kedua-dua pasukan yang terlibat,” katanya.

Sementara itu, Komodor Amphibious Squadron 5, Captain Tate Robinson menyatakan latihan bilateral ini merupakan cerminan kepada hubungan baik Amerika Syarikat dengan negara rakan dan sekutu di rantau Indo-Pasifik.

“Latihan seperti Tiger Strike membolehkan kami untuk berganding bahu dengan rakan dari Malaysia bagi memperhalusi keperluan pertahanan bersama di samping memenuhi objektif keselamatan nasional,” katanya.

Sementara itu, Kolonel Sean Dynan, Pegawai Memerintah 15th MEU menyatakan latihan sebegini adalah persiapan untuk menghadapi sebarang kemungkinan – terutamanya situasi yang memerlukan kehadiran pasukan gabungan untuk menghadapi krisis sekiranya keadaan memerlukan. – airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #Pertahanan #USMC #15MEU

Related Articles

Leave a Reply