Home Pertahanan dan Keselamatan Mohamed Khaled tiba di Singapura, hadiri mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan esok

Mohamed Khaled tiba di Singapura, hadiri mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan esok

by Nurulhuda

SINGAPURA, 30 MEI – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memulakan lawatan rasmi ke Singapura hari ini bersempena Five Power Defence Arrangements (FPDA) Defence Ministers’ Meeting dan The IISS Shangri-La Dialogue, yang dijadual berlangsung esok.

Menerusi hantaran di laman Facebook rasminya, Khaled memaklumkan, lawatan ini merupakan yang pertama sejak beliau dilantik sebagai Menteri Pertahanan pada Disember yang lalu.

“Pertemuan-pertemuan ini merupakan ruang yang cukup penting bagi negara-negara yang terlibat untuk mengadakan perbincangan soal cabaran keamanan dan keselamatan di rantau ini, di samping meneroka pendekatan-pendekatan baharu yang boleh dilaksanakan.

“Kesempatan yang ada juga akan digunakan untuk terus mengukuhkan hubungan pertahanan dengan negara-negara rakan, melalui pertemuan dengan pemimpin kerajaan dan angkatan tentera negara luar yang kini berada di Singapura bersempena dua acara berprestij ini,” jelasnya lagi.

Tambahnya, beliau turut dijadualkan bertemu dengan Perdana Menteri Singapura yang baharu, TYT Lawrence Wong, semasa lawatan ini.

Turut sama dalam lawatan kerja ini adalah, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman. -airtimes.my

#Malaysia #Singapura #FPDA #airtimes #pertahanan

Related Articles

Leave a Reply